Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tokoh teladan, masyarakat banggaan

Projek Tokoh-tokoh Melayu Singapura atau ‘Prominent Malays of Singapore (PMoS)’ usaha persiap direktori berkenaan tokoh dari pelbagai sektor yang telah dan masih menyumbang
Oct 5, 2025 | 5:30 AM
Singapura, Projek Tokoh-tokoh Melayu Singapura, Prominent Malays of Singapore, PMoS
Biografi lapan tokoh masyarakat Melayu akan ditampilkan dalam pelancaran ini sebagai wakil daripada ratusan tokoh yang tersenarai dalam projek ini. (Dari atas, kiri, mengikut putaran jam) Mantan Presiden, Encik Yusof Ishak dan Puan Halimah Yaacob; pemain bola sepak tersohor, Fandi Ahmad; pemuzik, Zubir Said; ahli korporat, Encik Bahren Shaari; seniwati, Nona Asiah; sasterawan, Masuri S.N.; dan mantan Mufti, Syed Isa Semait. - Foto-foto fail

Yang tokoh itu bercita anggun,

Teladan contohnya ramai terpegun,

Jasa baktinya memimpin menyantun,

Membawa masyarakat maju dan rukun.

Dalam setiap masyarakat, pembangunan dan kemajuan banyak dicorak oleh kepimpinannya.

Pemimpin itu memegang amanah untuk menggalas tugas yang diberikan.

Pemimpin yang menerajui sesuatu badan, lembaga mahupun pemerintahan, diangkat sebagai pemimpin kerana kepercayaan dan pengiktirafan akan kemampuannya.

Para pemimpin yang memiliki ketokohan itu umumnya berbakat, berwibawa dan berkeahlian dalam ketukangan, kepakaran atau pengkhususan masing-masing.

Mereka yang memiliki dan menunjukkan ketokohan akan tersemat segi-segi berikut.

Pertama, kewibawaan sehingga pemimpin itu memiliki karisma dan keupayaan untuk memandu, menggembleng dan mencorak kumpulan yang ia pimpin.

Kedua, keahlian dan kepakaran tersebut melebihi dari anggota masyarakat lainnya, sehingga bakti usaha, saranan dan tegurannya menjadi penanda aras atau aset yang berguna kepada kelompok tadi.

Ketiga, keahlian dan kepakaran yang ada pada kepimpinan itu mendapat pujian, penghargaan dan pengiktirafan, baik dari luar atau dalam.

Keempat, ketokohan yang ada pada pemimpin itu membawa kesan besar kepada masyarakat, sama ada ia diingati, atau jasa bakti pemimpin itu menjadi tekad teladan kepada yang lain untuk dicontohi, malah menginspirasi.

Namun wajar kita maklum bahawa tidak semua barisan pimpinan itu memiliki sifat ketokohan yang jitu.

Begitu juga tidak semua yang ada ketokohannya itu boleh ditempatkan dalam barisan kepimpinan, atau memegang jawatan, ataupun merangkul pingat dan anugerah.

Pemimpin datang dan pergi.

Namun ketokohan yang diiktiraf dan diingati akan dikenang sepanjang masa. Mereka inilah yang disebut-sebut sebagai tokoh atau adi jasawan dalam kalangan kelompok tertentu atau masyarakat yang lebih besar.

Pentingnya Usaha Dokumentasi

Inilah yang menjadi kepentingan besar dalam masyarakat untuk menyenarai dan menyusun maklumat dan rujukan agar para tokoh kita diabadikan dalam bentuk penulisan atau dokumentasi.

Ini memerlukan kajian dan penulisan sebuah bentuk biografi ringkas yang boleh merakam jejak hayat dan sumbangan yang telah diberikan oleh seseorang tokoh.

Inilah yang sedang diusahakan oleh Lembaga Perpustakaan Negara Singapura (NLB) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (JPM), serta dukungan dari Berita Harian dan Majlis Bahasa Melayu Singapura.

Projek yang dinamakan ‘Tokoh-tokoh Melayu Singapura’ atau Prominent Malays of Singapore (PMoS) adalah usaha mempersiapkan direktori berkenaan tokoh Melayu Singapura dari pelbagai sektor yang telah dan masih menyumbang.

Direktori ini berbentuk maklumat yang dimuat naik ke dalam sebuah lelaman khas dalam portal NLB dan ia boleh dibaca dalam versi Melayu dan Inggeris.

Usaha mengumpul nama-nama tokoh dalam pelbagai bidang telah mula digerakkan lebih setahun lalu, dengan penyenaraian nama-nama ini dan kemudian dicari pula para sukaralewan yang sedia menulis tentang tokoh-tokoh ini.

Disebabkan projek melibatkan JPM, NUS, maka antara penulis berkenaan tokoh-tokoh telah dilaksanakan oleh para siswa dan penuntut possiswazah dari jabatan tersebut.

Selain itu, beberapa anak muda dalam Sahabat Sastera juga menyumbang menulis beberapa tokoh terpilih.

Penulisan biografi ringkas para tokoh ini, selepas suntingan, akan dimuat naik ke dalam dalam lelaman khas.

Lain perkataan, semangat gotong royong terlihat dalam usaha menyempurnakan projek ini.

Tokoh yang tersenarai akan dimuat naik dalam lelaman khas secara bertahap dan ia dibahagikan kepada kategori seni, agama, politik, pendidikan, sukan dan lain-lain.

Sebenarnya, usaha menyusun biodata ringkas telah dibuat sejak beberapa dekad yang lalu.

Penerbitan buku berjudul Wajah: biografi penulis (1988) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.

Dalam buku ini, beberapa penulis utama dari Singapura tersenarai.

Sebuah lagi penerbitan diusahakan oleh Dr Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz, berjudul Leksikon: Direktori penulis Melayu Singapura pasca 1965.

Ia terbitan tahun 2005 oleh Asas ’50.

Di lelaman Infopedia Perpustakaan Negara, yang tersedia, dan disiapkan oleh para pustakawan umumnya.

Juga tokoh-tokoh yang termuat umumnya dari ranah sastera, budaya dan bahasa.

Namun projek PMoS ini mencakupi lebih banyak bidang yang diceburi oleh tokoh-tokoh Melayu Singapura, dari politik ke ekonomi, dari seni ke kesihatan.

Ertinya ia akan menjadi wadah rujukan yang komprehensif, boleh diakses lebih meluas kerana tersedia dalam versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, serta berbentuk dalam talian.

Penyusunan dalam lelaman ini pastinya bermatlamat untuk memudahkan masyarakat umum, ataupun para pengkaji untuk membuat rujukan tentang tokoh-tokoh ini di hari muka.

Projek ini secara rasmi akan dilancarkan pada Sabtu 11 Oktober, dalam majlis yang akan diadakan di Galeri Nasional.

Biografi lapan tokoh masyarakat Melayu akan ditampilkan dalam pelancaran ini sebagai wakil daripada ratusan tokoh yang tersenarai dalam projek ini.

Mantan Presiden, Encik Yusuf Ishak dan Puan Halimah Yaacob; sasterawan, Masuri S.N.; mantan Mufti, Syed Isa Semait; seniwati, Nona Asiah; pemuzik, Zubir Said; ahli korporat, Encik Bahren Shaari, dan pemain bola sepak tersohor, Fandi Ahmad

NLB Peneraju Maklumat

Tokoh-tokoh ini telah terhimpun dalam lelaman khas adalah suatu sumbangan NLB yang sekian lama menjadi lembaga yang sangat mendukung kegiatan pembacaan wacana dalam pelbagai bahasa di Singapura.

Teristimewa dalam program berbahasa Melayu, banyak programnya memperkenalkan para sasterawan, ilmuwan, agamawan, seniman, negarawan dan lain-lain.

Lelaman NLB sememangnya menjadi pusat rujukan utama bagi pembaca tempatan, mahupun para pengguna luar negara yang ingin tahu tentang hal ehwal Singapura.

Usaha penyusunan PMoS ini akan berjalan sebagai proses jangka panjang.

Mungkin juga di masa mendatang, akan ada penambahan kategori tema-tema, agar maklumat tentang Melayu Singapura dapat tersedia dengan lebih lengkap.

Pemaparan tokoh, dengan rujukan nota kaki pada sumber, membolehkan rujukan semula oleh para pembaca, malah dalam wadah yang memberi peluang untuk ditambahi atau dibaiki maklumat yang tertulis.

Ini berbeza sekiranya ia dalam bentuk buku yang dicetak.

Biografi lapan tokoh masyarakat Melayu akan ditampilkan dalam pelancaran ini adalah sebagai wakil daripada ratusan tokoh yang tersenarai dalam projek ini. 
Biografi lapan tokoh masyarakat Melayu akan ditampilkan dalam pelancaran ini adalah sebagai wakil daripada ratusan tokoh yang tersenarai dalam projek ini.  - Foto fail

Pengumpulan itu Pengiktirafan

Dengan mengenali para tokoh Melayu Singapura, kita juga boleh menggali institusi dan ranah yang mereka telah ceburi masing-masing.

Daripada riwayat hidup mereka yang boleh kita singkap adalah antaranya, kesungguhan menjalani liku-liku dan ranjau kehidupan.

Pesan dan pedoman daripada mereka adalah suatu yang boleh disebut sebagai kesaksian sejarah.

Inilah yang dimaksudkan apabila para tokoh ini boleh saja menjadi contoh teladan, barisan jasawan yang menjadi banggaan kita.

Pastinya kita bangga mempunyai tokoh sedemikian rupa, sekali gus terbit harapan bahawa kita perlukan lebih banyak tokoh yang akan memimpin kita menjadi masyarakat yang berkemajuan dan utuh keperibadiannya.

Tokoh sebeginilah juga yang telah dan akan mengharumkan nama masyarakat kita.

Ketokohan yang cemerlang terkandung dalam etos usahanya.

Menyingkap tentang para tokoh yang banyak menyumbang dalam masyarakat, bukan setakat dapat kita baca maklumat tentang peribadi dan bakti mereka, tetapi juga mengundang kita merenung dalam dan menilai tentang ketokohan itu sendiri.

Pentingnya, selain para tokoh yang sudah berbakti dalam sejarah, kita dan generasi seterusnya harus dapat melahirkan tokoh yang boleh memimpin dengan cemerlang dan bersungguh.

Yang pasti kita harapkan adalah ketokohan yang memiliki ciri noblesse oblige, atau ciri kebangsawanan yang sedia berbakti cemerlang kepada masyarakatnya dan negaranya.

Pada tokoh sebegini, jelas terpancar nilai yang berani berkorban masa dan tenaga, selain memperlihat peri nilai amanah yang wajar kita akur dan teladani.

Ada disebut dalam cita kepimpinan masyarakat Melayu, sebagaimana yang pernah diatur ungkapannya oleh Pak Tenas Effendy, yakni pemimpin yang beramanah.

Yang beramanah itu sebenarnya sangat diberatkan dalam etos kepimpinan Melayu. Sehingga terungkap begini:

“Menjadi pemimpin ia amanah

Taat memegang janji dan sumpah

Terhadap rakyat ia peramah

Terhadap sahabat ia pemurah

Dalam bekerja ia semenggah

Dalam bercakap berhalus lidah

Dijadikan pemimpin membawa berkah

Bersama tegak tuah dan maruah.”

Ada bidalan yang menyebut sebegini: “Tegak Menjaga Tuah, Duduk Memelihara Maruah.”

Itulah yang kita harapkan kepada tokoh-tokoh, dulu, kini dan ke depan hari.

Tokoh gemilang, masyarakat cemerlang.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan Mastera, Singapura. Dr Azhar antara panel penulis yang diundang khas Berita Minggu (BM) untuk mengupas isu bahasa, budaya dan warisan.

Pengumpulan sebagai pengiktirafan

“Dengan mengenali para tokoh Melayu Singapura, kita juga boleh menggali institusi dan ranah yang mereka telah ceburi masing-masing. Daripada riwayat hidup mereka yang boleh kita singkap adalah antaranya, kesungguhan menjalani liku-liku dan ranjau kehidupan.  Pesan dan pedoman daripada mereka adalah suatu yang boleh disebut sebagai kesaksian sejarah. Inilah yang dimaksudkan apabila para tokoh ini boleh saja menjadi contoh teladan, barisan jasawan yang menjadi banggaan kita.”
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg