Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Umrah Pasca-Covid

Feb 19, 2023 | 05:30 AM



ALLAHU Akbar! Akhirnya Kau perkenankan doaku!



"Labaik allahuma labaik," ungkapan yang terpantul setelah tersedar daripada mimpi.



Ikhsan bersujud tanda syukur mengenangkan betapa lama dia memendam rindu untuk menatap Kaabah. Pelbagai cabaran silih berganti sebelum dia dapat membuat persiapan bersama tiga ahli keluarganya yang lain. Sejurus sempadan dibuka dan laluan ke Makkah mula bercahaya, perasaan rindu untuk menatap Kaabah menjadi obor menerangi jiwa Ikhsan.



Memang ini bukan kali pertama baginya menunaikan umrah tetapi perasaan meluap-luap yang sukar dicernakan dengan perkataan telah membuatkan Ikhsan hampir meletak jawatan apabila pihak majikan tidak meluluskan cuti tanpa gaji. Ikhsan tidak faham mengapa majikannya tidak mengizinkan walhal Ikhsan bekerja di sebuah firma milik orang Melayu, Islam. Pelbagai alasan diberikan termasuk keadaan di dunia yang belum stabil, lantas tidak menggalakkan pekerjanya belayar jauh. Apatah lagi tempat berhimpunnya pelbagai warga dunia yang memungkinkan jangkitan wabak setelah dia kembali nanti.



Ikhsan bungkam. Marah kepada majikan yang baginya tidak bersikap terbuka. Berduyun-duyun orang melancong atau kembali ke negara masing-masing seperti ke Amerika, ke Jepun, ke Paris, malah ke China! Ya, negara yang dipercayai bermulanya virus yang menjejas dunia. Mengapa keinginannya ke Makkah dianggap remeh?



"Ah, aku mesti berangkat. Semalam, aku bermimpi berada di depan Hijr Ismail. Aku rindu Baitullah!" Ikhsan bermolonog.



Ikhsan semakin rajin bersolat. Solat-solat sunat dan solat tambahan bagi menenangkan fikiran dan kehidupan yang penuh pancaroba ini. Dalam dirinya telah bertekad bulat. Dia mesti berangkat ke Makkah. Mesti! Takungan air mata jantannya tidak dapat ditampung lagi. Yang pasti, dia merindui Kaabah! Panggilan kali ini sangat berbeza. Dia akan berangkat seisi keluarga. Hanya Allah tahu hikmah di sebalik segalanya.



Bulan Ogos berlalu pergi. Ikhsan tidak dapat berangkat walaupun bersedia untuk meletak jawatan.



Natijahnya, seandainya telah tertulis di luh mahfuz akan menjadi tetamu Allah, bukan wang yang menjadi pengadang, bahkan bukan urusan dunia yang menjadi penghalang. Jemputan daripada Allah hanya kepada mereka yang dilamar khas. Itulah yang dipesan oleh Ustaz Faizal dalam satu sesi Zoom dalam kelas Umrah setelah sempadan dibuka dan jemaah mula mendaftar. Oleh itu, pasrah. Tidak perlu dipaksa-paksa, tidak perlu jual harta bagai ataupun sampai kehilangan mata pencarian. Kehidupan perlu diteruskan setelah kembali nanti walaupun ramai yang inginkan kematian di tanah haram.



Di hadapan Gate 23, Terminal 2, Ikhsan menoleh kepada ahli keluarganya yang lain. Dalam perancangan, mereka seharusnya berangkat berempat. Namun, petang itu, hanya Ikhsan yang akan memulakan perjalanan dengan niat menunaikan umrah. Wabak terkini menular kembali. Isteri dan kedua-dua anaknya tiba-tiba jatuh sakit. Sebagai ketua keluarga, Ikhsan sepatutnya bersama mereka. Namun, takdir Allah tidak dapat dinafikan oleh sesiapa. Walaupun terasa berat dek kerisauan meninggalkan ahli keluarga di Kota Singa, Ikhsan pasrah. Berbekalkan dengan teknologi terkini, mereka akan berhubungan melalui pelbagai aplikasi yang ada. Ikhsan memang telah bersedia, termasuk memuat turun aplikasi Nusuk yang akan memudahkannya memasuki Taman Raudha semasa di Masjid Nabawi nanti.



Terdetik di hatinya, "Kita tidak tahu apakah perancangan Allah. Yakinlah, ia terbaik buat semua." Doa yang tidak putus-putus telah akhirnya membawa Ikhsan ke Makkah al Mukarramah.



Berpelitup. Menjaga kebersihan, jarak selamat dan sentiasa ikut arahan yang diberi oleh pihak agensi. Baru masuk hari kedua, separuh daripada jumlah jemaah yang seramai 40 orang tu, jatuh sakit. Bukan sekadar batuk dan demam yang biasa berlaku kerana pertukaran cuaca dan keadaan yang bersesak-sesak. Akan tetapi, dijangkiti Covid 19, penularan terkini walhal disahkan sihat sebelum berangkat. Malah, sembilan jemaah terpaksa dibawa ke hospital kerana sesak nafas.



Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Ayat daripada Surah Ar-Rahman yang beruang sampai 31 kali. Begitulah ketentuan-NYA. Dengan keikhlasan dan keyakinan, jemaah dapat sempurnakan umrah kerana adanya persiapan pihak agensi dan mutawif yang sememangnya telah menjangkakan keadaan sedemikian akan berlaku. Tiada yang terjadi tanpa izin-NYA!



Bersedekah seperti yang dijanjikan dapat melegakan apa jua permasalahan dunia. Tiada yang papa kerananya. Seikhlasnya, jemaah melakukan infaq sabil sehari sebelum menunaikan umrah yang kedua. Melihat barisan yang beratur; menginginkan sepaket nasi dan sebotol air putih, membuat Ikhsan benar-benar berasa insaf. Bukan, bukan kerana Ikhsan tidak menderma semasa di negara sendiri tetapi inilah kali pertama Ikhsan lihat sendiri pembahagian rezeki di tanah haram. Ternyata, masih ada yang memerlukan. Sebelum ini, peminta sedekah sering dikaitkan dengan sindiket dan yang sewaktu dengannya. Melalui saluran rasmi, infaq sabil dapat dilakukan dengan lebih telus.



Di Madinah, Ikhsan berdiri di luar pintu besar nombor 38, Masjid Nabawi, selepas waktu asar, Ikhsan membahagi-bahagikan kurma segar. Ini initiatif Ikhsan sendiri. Perkongsian kurma dirasai oleh mereka yang baru keluar dari rumah Allah. Sejurus berkongsi rezeki, rasa lapang bak menderu ke ruang rongganya, sebagai saksi satu kelegaan. Ikhsan ikhlas, ikhlas dalam memberi.



Dua minggu Ikhsan benar-benar fokus beribadah. Terasa dirinya begitu kerdil. Mengucapkan syukur yang tidak terhingga. Ikhsan akur Allah sebagai perancang terbaik. Ikhsan tetap berdoa agar isteri dan anak-anak akan turut dijemput dalam masa terdekat. Sudah dua hari mereka terputus hubungan dek cuaca buruk sehingga menjejas talian Internet.



Kapal terbang Saudi Airlines meluncur laju. Perjalanan pulang yang makan masa selama lapan jam itu turut meninggalkan kesan yang mendalam. Imbauan sekilas ibadah di kedua-dua Makkah dan Madinah menjadi santapan minda. Kalau panjang umur, Ikhsan berjanji akan kembali!



Ikhsan melihat paparan laluan perjalanan kapal terbang di depan mata melalui skrin di tempat duduk penumpang. Risau. Ikhsan risau kerana tidak dapat menghubungi keluarga di Singapura walaupun telah mencuba pelbagai cara.



Ramai jemaah yang sakit diserang selesema dan demam panas. Namun, mereka tetap 'lepas' imbasan imigrasi di Jeddah. Bagaimana pula dengan mesin imbasan di lapangan Terbang Changi yang dikatakan antara tercanggih di dunia?



Berbekalkan doa dan rindu terhadap mereka yang ditinggalkan di Kota Singa, jemaah berzikir sambil beratur satu persatu dengan penuh debaran. Suhu badan dijaga sebaik mungkin dengan memakan panadol dan menahan batuk dengan menghisap gula-gula berangin. Moga Allah permudahkan semua urusan mereka dan urusan kita. Amin.




BIODATA PENULIS



Rozanah Kasnan, atau nama penanya Anah Kasnan dan Za RHK, adalah seorang pendidik. Beliau pernah menggalas tugas Ketua Jabatan Bahasa Ibunda di sekolah rendah dan sekolah menengah di kawasan timur Singapura.



Menghulur sumbangan dalam pelbagai penulisan buku teks/buku kerja dan kertas seminar di bawah Kementerian Pendidikan (MOE) dan Pembelajaran dan Penggalakan Bahasa Melayu (MLPC).



Beliau telah menghasilkan banyak cerpen dan puisi untuk akhbar ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >