Usah ‘sempit kening’, projek Masjid Al-Firdaus sebenarnya ibarat ‘pekak pembakar meriam’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usah ‘sempit kening’, projek Masjid Al-Firdaus sebenarnya ibarat ‘pekak pembakar meriam’

Dek kekangan saiz Singapura dan hambatan ketandusan sumber asli, tidak menghairankan ia perlu terus-menerus lakukan perubahan ke atas penggunaan tanah
Dec 14, 2025 | 5:30 AM

Usah ‘sempit kening’, projek Masjid Al-Firdaus sebenarnya ibarat ‘pekak pembakar meriam’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
masjid al-firdaus, peribahasa, penutupan
Rancangan ‘penutupan’ Masjid Al-Firdaus tidak bermakna langit runtuh, bumi cair, atau segala harapan terhancur kerana pemerintah tidak berpendirian tidak menghangat mendingin, atau tidak ambil peduli, keperluan ibadah rakyat Singapura. Malah, Masjid Firdaus baru akan dapat menampung jemaah lebih besar, dengan sumber lebih banyak untuk berkhidmat kepada mereka. - Foto fail

‘Tiada yang kekal kecuali perubahan’.

Demikian kata-kata ahli falsafah Yunani (orang Greek) Heraclitus. Ia bermaksud segala sesuatu sentiasa berubah dan tidak ada apa-apa yang kekal selama-lamanya. 

Ungkapan itu menekankan sifat perubahan yang sentiasa berlaku dalam kehidupan, dan pentingnya kita menerima perubahan kerana ia membolehkan kita menyesuaikan diri dengan perubahan itu dan apa yang diakibatkannya.

Ia ibarat keyakinan orang Islam bahawa kehidupan di dunia ini fana, iaitu tidak kekal. Tiada yang abadi, atau wujud selama-lamanya, dan bahawa yang tidak akan berubah ialah kematian – ia akan terus-menerus berlaku ke atas setiap makhluk hingga akhir zaman, yang bermaksud zaman menjelang akhirat. 

Yang abadi hanya Allah. Selain Dia, tiada satu pun makhluk, bernyawa mahupun tidak, dan perkara akan kekal selama air hilir, selama gagak hitam, iaitu tidak berubah-ubah, tetap selama-lamanya.

Pepatah mengatakan harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading. Maksudnya, orang berjasa akan selalu disebut-sebut orang walau berapa lama pun ia telah mati. Pepatah juga menyebut hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga. Ia bermaksud budi bahasa yang baik tidak akan dilupakan orang walaupun sudah mati. 

Namun, tiada yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, iaitu sesuatu yang tetap utuh. Hakikatnya ialah budi baik, nama harum dan kenangan manis pun akhirnya akan ditelan zaman, iaitu menjadi usang atau tidak penting dalam masa kini.

Oleh itu, tidak harus mengejutkan apabila diumumkan bahawa Masjid Al-Firdaus akan ‘ditutup’ untuk memberi laluan kepada rancangan pembangunan di Choa Chu Kang. Apatah lagi masjid berusia 63 tahun itu “terletak di atas sebidang tanah luas yang bertujuan untuk pembangunan semula jangka panjang”.

Dek kekangan saiz Singapura yang sekangkang kera, atau sangat sempit, dan hambatan ketandusan sumber asli, tidak menghairankan negara ini perlu terus-menerus melakukan perubahan ke atas penggunaan tanahnya, yang bermakna rakyatnya terpaksa terus-menerus menghadapi perubahan dan membuat penyesuaian.

Di negara besar, bangunan, termasuk rumah, boleh berdiri beratus tahun kerana kawasan baru boleh dibuka dan hutan boleh diteroka bagi pembangunan baru. Di negara kecil, tanah terbatas dan hutan terhad, sekali gus tidak sentiasa keadaan membolehkan bangunan, bahkan keluarga, tidak berasak tunas dari tunggul, iaitu tidak pindah-pindah, tetap di situ juga (berasak bermakna berpindah atau berengsot). 

Pemerintah di negara kecil seperti Singapura terpaksa memikirkan huraian bijak bagi memanfaatkan sepenuhnya tanah tidak seberapa yang ada, dan mengimbangi penggunaannya bagi pelbagai keperluan, daripada perumahan hingga perusahaan, malah pengebumian. 

Maka itu di negara ini diadakan program seperti Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (Sers), yang meremajakan estet HDB lama dengan langkah seperti mengadakan bangunan dan kemudahan baru tanpa perlu membuka tanah atau melenyapkan hutan bagi mewujudkan estet atau presint baru. Begitu juga dengan projek penggalian kubur lama orang Islam bagi pengebumian semula lapan jenazah dalam satu plot kubur. 

Oleh itu, usah sempit kening, atau lekas marah, mudah tersinggung, mengenai rancangan ‘penutupan’ Masjid Al-Firdaus. Kata pujangga, zaman beralih, musim bertukar, maksudnya segala peraturan, undang-undang, dan keadaan harus disesuaikan dengan perkembangan masa dan zaman. Ia juga membawa maksud bahawa segala sesuatu berubah-ubah mengikut peredaran zaman.

Kehilangan masjid demi pembangunan bukan sesuatu yang baru di Singapura. Ia berlaku sejak dulu; pada awal kemerdekaan negara ini ada rumah ibadah, baik masjid dan surau mahupun kuil dan gereja, dirobohkan bagi membuka jalan, iaitu memberikan peluang untuk tindakan seterusnya, termasuk projek pembangunan.

Ada pihak membangkang tindakan itu, namun demi pembangunan yang amat diperlukan, pemerintah berpendirian tiada terkajang batu di pulau, yang bermaksud tiada terlayan kehendak orang ramai (terkajang bermaksud menutup dengan bumbung yang diperbuat daripada daun pokok nipah). Kebijakan dan ketepatan dasar itu dinikmati sekarang. 

Bagaimanapun, pemerintah tidak berpendirian tidak menghangat mendingin, atau tidak ambil peduli, keperluan ibadah rakyat Singapura. Walaupun ada rumah ibadah dirobohkan, yang baru didirikan, bak kata pepatah patah tumbuh, hilang berganti, atau terus-menerus ada gantinya.

Begitu juga dengan Masjid Al-Firdaus. Ia akan terus beroperasi hingga masjid baru – bernama Masjid Al-Firdaus juga – di Tengah siap dibina pada awal 2030-an. Ini bermakna Masjid Al-Firdaus sebenarnya tidak akan ditutup tetapi dipindahkan ke tempat baru. Malah, masjid baru itu akan dapat menampung jemaah lebih besar, merentas Tengah, Bukit Batok dan Choa Chu Kang, dengan sumber lebih banyak untuk berkhidmat kepada mereka.

Jelaslah rancangan ‘penutupan’ Masjid Al-Firdaus tidak bermakna langit runtuh, bumi cair, atau segala harapan terhancur. Sebaliknya, ia ibarat pekak pembakar meriam, iaitu sesuatu yang mendapat tempat yang sesuai.

Bagi orang yang mengadu masjid baru itu kelak ‘jauh’ dari tempat mereka sekarang, ingatlah pesan jauhari, tidaklah telaga mendapatkan timba, yang bermaksud orang yang berhajat itulah yang mesti pergi kepada orang yang dihajati. Jemaah yang harus berusaha dan berkorban mendekatkan diri kepada masjid, bukan mengharapkan jarak antara rumah mereka dan masjid berbisik kedengaran, berimbau kelampauan, yang bermaksud jarak yang sangat dekat.

Nabi saw pernah dua kali memberitahu Bani Salamah supaya jangan berpindah ke tempat dekat dengan masjid kerana setiap langkah ke masjid bernilai satu derajat, oleh itu jemaah yang tinggal paling jauh dari masjid mendapat pahala paling besar kerana banyaknya langkahnya ke masjid.

Orang tua-tua berkata, habis miang kerana bergeser, dan habis geli oleh geletek, habis rasa oleh biasa. Maksudnya, rasa susah akan hilang setelah menjadi kebiasaan. Apabila sedepa jalan ke muka, setelempap jalan ke belakang, iaitu berusaha dengan tekad yang bulat, untuk lazim ke Masjid Al-Firdaus baru kelak, akan ‘dekat’lah ia dan akan hilanglah kesukaran memakmurkan rumah Allah itu (setelempap bermakna selebar tapak tangan).

Sementara itu, marilah berdoa agar projek pembinaan Masjid Al-Firdaus yang baru tidak dihambat akar, dihambat dahan, maksudnya menjadi sesuatu pekerjaan yang dikerjakan dengan selamat dari mula sampai ke akhirnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg