Daripada minat membaca dua rakan, lahir sebuah kumpulan – Maktaba Books – yang anggotanya bukan berkongsi minat membaca sahaja, malah membincangkan isu semasa.
“Ia bermula sebagai perkara yang remeh sahaja. Saya dan rakan saya ada koleksi kecil buku Melayu dan buku Islam, dan kami akan kongsi dengan satu sama lain.
“Akhirnya kami habis baca kesemua buku dalam koleksi kami,” kongsi pengasas Maktaba Books, Encik Azrin Hamdan, 29 tahun.
Beliau kemudian terfikir, tentu ada ramai orang seperti mereka – minat membaca, mempunyai koleksi buku dan bersedia berkongsinya.
Pada 2021, Encik Azrin memulakan usaha berkongsi minat membaca dan koleksi buku dengan menyediakan akaun Instagram dan menggunakan ‘Google Sheet’ untuk berfungsi sebagai penghubung antara pemilik dengan peminjam buku.
Pada 2022, beliau dan rakannya mengasaskan Maktaba Books – sebuah perpustakaan kumpulan pencinta buku ‘peer-to-peer’, atau rakan ke rakan – dengan menyediakan laman sesawang maktababooks.com untuk memudahkan lagi proses meminjam buku.
Maktaba adalah perkataan Arab yang antara maksudnya adalah perpustakaan dan tempat belajar.
Di bawah konsep rakan ke rakan itu, dua individu berinteraksi secara langsung untuk meminjam buku.
Kini, khidmat Maktaba Books telah berkembang lebih daripada sekadar sebagai sebuah wadah untuk meminjam buku.
Ia juga mengadakan kelab buku yang membincangkan isu-isu berdasarkan buku yang dibaca.
“Selain menggalak amalan dan budaya membaca dalam masyarakat, kami ingin menyediakan ruang bagi orang lebih selesa berbincang tentang pelbagai topik,” kata Pengurus Acara dan Program Maktaba Books, Cik Izza Haziqah Abdul Rahman, 28 tahun.
Beliau berterima kasih kepada kedai buku Wardah Books dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) kerana memberi mereka ruang dan peluang untuk mengadakan kelab buku.
Kelab buku pertama mereka, yang dinamakan Seekers Book Club, merupakan kerjasama bersama Wardah Books dan sebahagian besarnya mengetengahkan isu berasaskan kepercayaan dan Islam.
Kelab buku kedua mereka, Sama-Sama Book Club, merupakan kerjasama bersama NLB, yang membincangkan isu sekular Singapura, yang memberi tumpuan pada perspektif warga Singapura dan serantau.
Antara penulis yang menyertai sesi kelab buku itu, sama ada secara fizikal atau dalam talian, ialah Osman Sidek dan Enon Mansor, yang menulis buku, ‘Sex, Soul and Islam’, dan Zoulfa Katouh, penulis buku, ‘As long as the Lemon Trees Grow’.
Antara cabaran menjalankan peminjaman buku rakan ke rakan adalah memastikan buku yang dipinjamkan dikembalikan dalam keadaan yang sama.
Bagi memastikannya, Maktaba Books mengenakan deposit $5 yang akan diberikan kepada pemilik buku sekiranya bukunya dikembalikan dalam keadaan kurang baik.
Keengganan individu berkongsi maklumat peribadi seperti nombor telefon juga diambil kira.
“Mereka boleh memilih untuk berjumpa di tempat awam atau berbicara melalui Telegram,” ujar Pengurus Komuniti Maktaba Books, Encik Nurhadi Taha, 29 tahun.
Maktaba Books juga mendapat sokongan daripada sukarelawan yang banyak membantu mereka dari segi mengendalikan sesi kelab buku, membuat rakaman video serta gambar dan sebagainya.
Ia sekarang sedang mencari sukarelawan yang pakar dalam bidang laman web untuk membantu mereka mempertingkatkan lagi rangkaian dan laman web mereka.
Encik Azrin menggalak masyarakat memulakan amalan membaca, tidak kira apa jua bahannya.
“Orang ramai takut dihakimi berdasarkan buku yang mereka baca.
“Sebenarnya tidak perlu takut, baca sahaja apa yang anda suka baca. Jika anda berminat tentang sesuatu perkara, baca dan terokailah perkara itu,” ujar beliau.
Cik Izza Haziqah pula menggalak lebih ramai orang menyertai sesi perbincangan buku yang ada.
“Anda akan terkejut dengan sumbangan yang anda boleh buat dalam sesuatu perbincangan.
“Ia tidak semestinya ulasan paling intelek. Pemerhatian dan ulasan mudah juga akan memberi kesan terbesar kepada anda,” katanya.
Mereka yang ingin menyertai kelab buku, menjadi sukarelawan atau meminjam buku Martaba Books boleh meninggalkan pesanan di akaun Instagram mereka, maktaba_books.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg