NAMA sebenarnya terlalu panjang. Bukan sahaja susah disebut malah susah diingat. Kerana itu dia lebih mudah dipanggil guru dan kawan-kawannya dengan nama Zul sahaja. Singkatan dari namanya yang berjela panjang. Nama pilihan ibu bapa yang begitu ghairah. Maklumlah baru mendapat anak pertama.
Semua budak sedarjahnya dan hampir semua pelajar di sekolah itu tidak kira apa bangsa mereka, kenal siapa Zul. Nama Zul sudah menjadi basahan di mulut setiap orang yang bercakap tentang keburukan. Nama itu juga digeruni terutama budak-budak yang sering dibulinya. Kepopularan nama itu tidak sahaja di kalangan pelajar bahkan kepada guru-guru di sekolah itu terutama mereka yang secara langsung mengajar kelas Zul dan tidak terkecuali mereka yang datang sebagai guru pengganti, walaupun datang untuk beberapa hari sahaja bagi menjaga disiplin budak-budak di kelas itu. Pejabat pengetua sudah menjadi bilik kedua untuk Zul selain bilik darjahnya sendiri.