Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

11 hilang $403,000 jadi mangsa tipu aplikasi palsu Sheng Siong, FairPrice

Oct 6, 2023 | 5:39 PM
APLIKASI ANTIVIRUS: Orang ramai boleh muat turun aplikasi antivirus yang disarankan pihak polis.
APLIKASI ANTIVIRUS: Orang ramai boleh muat turun aplikasi antivirus yang disarankan pihak polis. - Foto PASUKAN POLIS SINGAPURA

Terdapat aneka penipuan perisian hasad melibatkan aplikasi palsu Sheng Siong dan Kumpulan FairPrice.

Semasa memberi amaran itu pada Jumaat, polis menyatakan sekurang-kurangnya 11 orang kehilangan $403,000 atau lebih sejak September akibatnya.

Dalam kes itu, mangsa klik iklan dalam talian – kebanyakannya dipos dalam Facebook – kononnya mempromosi barangan makanan seperti beras, biskut dan daging itik.

Mereka kemudian diarahkan ke wadah mesej WhatsApp, dengan “penjual” memberitahu mereka supaya memuat turun Kit Pakej Android (APK) melalui WhatsApp agar mereka boleh membuat pesanan mereka.

Mangsa juga diberitahu supaya memuat turun APK menerusi laman web pihak ketiga, bukan stor aplikasi rasmi seperti Google Play. Aplikasi yang dimuat turun itu menyerupai aplikasi Kumpulan FairPrice atau Sheng Siong.

Selepas fail APK dimuat turun dan dipasang, penipu akan mendapat akses dari jarak jauh ke peranti mangsa, membolehkan mereka mencuri kata laluan dan mendapatkan butir berkaitan perbankan.

Selanjutnya, mangsa diarahkan supaya melaksanakan PayNow atau pemindahan bank untuk membayar pesanan mereka, mendaftar sebagai anggota atau membayar khidmat penghantaran. Mereka akan mengesan transaksi yang tidak dibenarkan daripada akaun bank mereka.

Polis menasihatkan mereka yang memuat turun dan memasang aplikasi sedemikian atau mengesyaki telefon bimbit mereka terkena perisian hasad itu supaya mengambi langkah-langkah berikut:

– Pindahkah telefon anda ke mod penerbangan. Pastikan Wi-Fi telefon dimatikan.

– Jalankan imbasan antivirus di telefon bimbit.

– Guna peranti lain untuk memeriksa akaun bank, Singpass dan CPF tinjau sembarang transaksi yang tidak dibenarkan.

– Laporkan transaksi yang tidak dibenarkan kepada bank dan pihak berkuasa relevan, dan buat laporan polis. Sebagai langkah berjaga-jaga selanjutnya, set semula telefon bimbit anda dan tukar kata laluan penting.

Polis turut menggesa orang ramai supaya mengambil langkah-langkah berikut:

– Tambahkan aplikasi ScamShield dan antivirus kepada peranti anda dan pastikan sistem operasi dan aplikasinya kerap dikemas kini.

– Matikan ‘Pasang Aplikasi Tidak Diketahui’ atau ‘Sumber Tidak Diketahui’” dalam setting telefon bimbit anda dan jangan izinkan pop-up yang meminta akses kepada perkakasan atau data peranti anda.

– Semak tanda-tanda penipuan dengan sumber rasmi seperti bot ScamShield WhatsApp, talian bantuan antipenipuan di 1800-722-6688 atau layari laman web, www.scamalert.sg.

– Muat turun dan pasang aplikasi daripada stor aplikasi rasmi seperti Google Play Store bagi pengguna Android. Berhati-hati jika anda disuruh memuat turun aplikasi yang tidak diketahui untuk membeli barangan atau perkhidmatan di wadah media sosial.

– Laporkan kandungan atau iklan yang mencurigakan di laman media sosial. Sekat dan laporkan nombor berkaitan penipuan di WhatsApp.

– Laporkan transaksi penipuan kepada bank dengan segera.

Mereka yang mempunyai maklumat tentang penipuan boleh menghubungi hotline polis di talian 1800-255-0000, atau layari laman web, www.police.gov.sg/iwitness.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg