Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 terkorban dalam serangan maut pertama Houthi di Laut Merah

Mar 7, 2024 | 1:43 PM
Tiga kelasi kapal, True Confidence, milik Greece dilaporkan maut akibat serangan Houthi di Laut Merah pada 6 Mac.
Tiga kelasi kapal, True Confidence, milik Greece dilaporkan maut akibat serangan Houthi di Laut Merah pada 6 Mac. - Foto REUTERS

LONDON: Serangan peluru berpandu Houthi telah membunuh tiga kelasi kapal dagang di Laut Merah pada 6 Mac, kata Komando Pusat Amerika Syarikat (Centcom).

Ia merupakan kematian pertama sejak kumpulan di Yaman yang bersekutu dengan Iran itu memulakan serangan terhadap perkapalan di laluan perdagangan paling sibuk di dunia.

Houthi mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, yang menyebabkan kapal, True Confidence, milik Greece, berbendera Barbados, terbakar sekitar 50 batu nautika dari pantai pelabuhan Aden, Yaman.

Dalam mesej awal di platform media sosial X sebagai membalas dakwaan Houthi, kedutaan Britain menulis:

“Sekurang-kurangnya dua kelasi telah meninggal dunia. Ini adalah kejadian yang menyedihkan tetapi tidak dapat dielakkan daripada serangan peluru berpandu yang dilancarkan secara melulu oleh Houthi terhadap perkapalan antarabangsa. Mereka mesti berhenti.”

Houthi telah menyerang kapal-kapal di Laut Merah sejak November 2023 dalam apa yang mereka dakwa sebagai kempen perpaduan dengan rakyat Palestin di tengah-tengah konflik dengan Israel di Gaza.

Britain dan Amerika telah melancarkan serangan balas terhadap Houthi, dan pengesahan kematian boleh membawa kepada tekanan tindakan ketenteraan yang lebih kuat.

Sumber perkapalan berkata empat anak kapal itu melecur teruk, dan tiga hilang selepas serangan tersebut.

Syarikat pengendali True Confidence berkata mereka tiada maklumat mengenai status 20 anak kapal dan tiga pengawal bersenjata di dalam kapal itu.

Ia terdiri daripada 15 warga Filipina, empat warga Vietnam, dua warga Sri Lanka, seorang India dan seorang warga Nepal.

Pada 2 Mac, Rubymar, sebuah kapal pengangkut milik United Kingdom, menjadi kapal pertama yang karam akibat serangan Houthi.

Serangan Houthi telah mengganggu perkapalan sejagat, memaksa syarikat pengendali mengubah laluan ke perjalanan yang lebih lama dan lebih mahal di sekitar Afrika Selatan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg