Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

36 kru terselamat selepas dua kapal terbakar dekat Pedra Branca

Jul 19, 2024 | 5:30 PM
Seorang anak kapal yang cedera dikejarkan ke Hospital Besar Singapura dengan helikopter Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) selepas diselamatkan dalam kebakaran melibatkan dua buah kapal di perairan dekat Pedra Branca pada pagi 19 Julai.
Seorang anak kapal yang cedera dikejarkan ke Hospital Besar Singapura dengan helikopter Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) selepas diselamatkan dalam kebakaran melibatkan dua buah kapal di perairan dekat Pedra Branca pada pagi 19 Julai. - Foto RSAF

Seramai 36 anggota kru dari dua kapal yang terbakar di perairan kira-kira 55 kilometer dari Pedra Branca telah diselamatkan.

Dalam kenyataannya, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata 26 daripada 40 anggota kru masih berada di salah satu kapal – Ceres I yang berdaftar di Sao Tome and Principe – untuk melawan api.

Seramai 22 anggota kru Hafnia Nile, yang berdaftar di Singapura, telah diselamatkan, kata MPA.

Kededua kapal itu terbakar sekitar 6 pagi pada 19 Julai, dekat Pedra Branca, yang turut dikenali sebagai Pulau Batu Putih, perairan yang termasuk dalam wilayah mencari dan menyelamat maritim Singapura.

Buat masa ini tiada laporan menyatakan tumpahan minyak berlaku.

Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), jurucakap Hafnia berkata kededua kapal tangki itu bertembung dan menyebabkan kebakaran. Syarikat perkapalan, Hafnia ialah pengendali kapal Hafnia Nile.

Menurut MPA, semua anak kapal telah ditemui.

Menambah, MPA berkata ia telah meminta kapal yang melintas di perairan itu supaya membantu dalam operasi mencari dan menyelamat.

Kapal Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), RSS Supreme, yang berada di kawasan berhampiran, memberikan bantuan segera dan dapat menyelamatkan 16 daripada 22 anak kapal Hafnia Nile.

Lagi enam anak kapal, yang berada dalam bot penyelamat diselamatkan kapal kerajaan Malaysia dan telah dipindahkan ke RSS Supreme, tambah MPA.

MPA juga berkata anak kapal Hafnia Nile sedang menerima rawatan di RSS Supreme.

“Dua anak kapal mengalami kecederaan ringan, sementara lagi 20 anak kapal difahami berada dalam keadaan baik.

“Keluarga anak kapal telah diberitahu dan mereka diberikan perkembangan terkini secara kerap,” ujar jurucakap Hafnia.

Jurucakap Hafnia juga menambah bahawa tiada maklumat mengenai sebarang pencemaran yang berlaku akibat kejadian itu.

Syarikat itu juga telah menghantar kakitangan untuk membantu dalam usaha menyelamat.

Sebuah kapal yang berdaftar di Singapura, Dolphin 1 yang berada berhampiran kededua kapal menyelamatkan 14 anak kapal dari Ceres I.

Dua daripada mereka diterbangkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) oleh helikopter Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).

MPA berkata tiada anak kapal warga Singapura terlibat dalam kejadian itu dan laluan perkapalan di kawasan itu tidak terjejas.

Dalam hantaran di Facebook, RSN berkata RSS Supreme telah menyelamatkan kelasi dan sedang menyediakan bantuan perubatan, selepas menjawab panggilan kecemasan daripada kedua-dua kapal berkenaan.

Menurut VesselFinder, laman web pengesan kapal, Hafnia Nile, dijadualkan tiba di Kashima, Jepun, pada 10 pagi waktu tempatan pada 27 Julai.

Kapal itu, yang disenaraikan sebagai kapal tangki produk minyak, telah berlepas dari Huelva, Sepanyol, pada 10 Jun.

Manakala Ceres I, sebuah kapal tangki minyak mentah, dijadualkan tiba di Singapura pada 9 malam pada 11 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg