USTAZ MUHAMMAD FAKHRUR RADZI MOHD NOOR
Konsep dan pengertian barakah, atau keberkatan, dalam Islam membawa maksud yang mendalam. Seseorang yang mendapat barakah dengan izin-Nya, mampu mengubah usaha yang biasa, dan mendapatkan hasil luar biasa. Ini dapat kita lihat dan pelajari daripada banyak kisah-kisah Nabi Muhammad saw.
Barakah merangkumi idea dan tindakan seseorang. Apabila diselaraskan dengan iman dan amal soleh, barakah boleh membawa kepada kejayaan yang besar, dan kemakmuran yang melebihi apa yang kita jangkakan.
Secara lazim, barakah boleh dicari dan ditanam dalam aspek kehidupan seorang Muslim serta memperkaya usaha peribadi dan profesional seseorang.
Berikut adalah panduan singkat dengan individu boleh memberi tumpuan untuk menggabungkan barakah dalam setiap usaha yang dijalankan:
– Kita wajib melakukan solat dan menzahirkan kesyukuran atas nikmat yang diterima. Dengan bersyukur, kita mampu menerima lebih banyak nikmat dan keberkatan daripada Allah swt.
– Menjalankan kehidupan harian dengan kejujuran, berintegriti dan tingkah laku yang beretika tinggi. Dipercayai rahmat dan nikmat Allah menyertai mereka yang menjunjung nilai akhlak yang murni.
– Mengukuhkan ikatan kekeluargaan, melayani insan-insan tersayang dengan rasa hormat, kasih sayang, selain menunaikan tanggungjawab dengan sempurna, ini adalah antara cara untuk mengundang keberkatan ke dalam kehidupan berkeluarga.
– Memberi kepada mereka yang memerlukan, beramal dan membantu orang lain yang dianggap sebagai perbuatan yang boleh menambah keberkatan dalam harta dan sumber seseorang.
– Menjalankan tugasan dengan penuh dedikasi serta keikhlasan dipercayai dapat menarik rahmat-Nya dalam kehidupan profesional seseorang.
Secara kesimpulannya, barakah adalah konsep yang integral dalam Islam. Ia menekankan keberkatan dan kelimpahan-Nya dalam semua aspek kehidupan.
Dengan menyelaraskan tindakan seseorang dengan keimanan, kesyukuran dan nilai-nilai murni yang lain, ini mampu membawa kepada kehidupan yang lebih sejahtera dan penuh keberkahan.
SERTAI SEMINAR
Marilah kita meluangkan masa mengamati dan mengetahui lebih mendalam konsep barakah. Sertai seminar Pembelajaran Islam Dewasa (ADIL) Knowledge Retreat yang bertajuk ‘Barakah Blueprint’ – Achieving More with Less, Cultivating Abundance in Life’.
Penceramah bagi seminar ini ialah Ustazah Shameem Sultanah Abdul Gaffoor dengan moderator Cik Fiza O.
Seminar ini diadakan dalam bahasa Inggeris dan akan berlangsung pada Jumaat, 13 Oktober, 8 malam di Stephen Riady Auditorium @NTUC yang terletak di Marina Boulevard, berdekatan Raffles Place.
Untuk maklumat dan pembelian tiket berharga $10 ini, sila lungsuri laman web https://barakah-blueprint.eventbrite.sg/
* Ustaz Muhammad Fakhrur Radzi merupakan Pengurus, Unit Strategik Pendidikan Belia dan Masyarakat, di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Beliau adalah lulusan Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg