Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

Muis anjur seminar kupas Al-Quran sebagai sumber ilham abadi

Jul 07, 2023 | 05:30 AM



USTAZAH NUR HIDAYAH AZMAN

Kitab Al-Quran merupakan sumber ilham yang tidak terbatas. Ia sebuah kitab yang mengandungi ayat-ayat suci yang diturunkan Allah swt kepada Nabi Muhammad saw melalui Malaikat Jibril as. Ia juga sebuah pedoman bagi seluruh umat Islam.


Apabila setiap ayat Al-Quran dibaca dan direnungkan, pasti terasa keindahannya yang menyentuh hati di samping seribu makna yang mendalam.

Keunikan Al-Quran juga tidak terletak hanya pada pesan-pesan dan kisah-kisah yang terkandung di dalamnya, malah ia cukup mengagumkan daripada segi kesusasteraan dan struktur bahasa.

KEINDAHAN BAHASA AL-QURAN

“Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu memahaminya.” (Surah Yusuf: 2)

Daripada segi bahasa, Al-Quran membawa maksud ‘sesuatu yang banyak dibaca’. Takrif itu terbukti dengan ramainya orang di seluruh dunia yang membaca dan menghafalnya.

Apabila Allah swt menyebutkan turunnya ayat-ayat Al-Quran dalam bahasa Arab, ia memberi maksud bahasa ini dipilih sebagai tanda bahawa ia daripada kata-kata Allah swt dan bukan daripada kalimah Nabi Muhammad saw.


Sangatlah wajar jika tiada yang dapat menandingi bahasa Al-Quran kerana ia bukanlah karya manusia, malah kata-kata Allah swt yang Maha Besar lagi Maha Bijaksana.


Setelah Al-Quran diturunkan, ramai dalam kalangan sasterawan, ahli bahasa dan juga penyair pada zaman Nabi Muhammad saw berlumba-lumba menghasilkan karya sendiri untuk mengalahkannya. Namun, usaha-usaha tersebut tidak membuahkan hasil. Sungguh, keindahan bahasa Al-Quran memiliki kekayaan yang tidak terbanding. Bahasanya jelas, terang dan perbendaharaan katanya begitu luas untuk mengungkapkan pelbagai pengertian.


Apabila ayat-ayat Al-Quran diterjemahkan, keindahan bahasa ini tetap terasa.

Setiap pembaca Al-Quran diletakkan dalam keadaan ingin lebih memahami maksud yang tersirat. Dalam usaha mencari perkataan yang sesuai sebagai terjemahan, ia memberi ruang bagi pembaca dan penuntut ilmu untuk merenungnya. Malah, ia juga mampu membangunkan minda selari dengan fitrah manusia.

KEAJAIBAN ILMIAH DALAM AL-QURAN

“Dan Dialah Tuhan yang telah mengalirkan dua laut berdampingan, yang satu tawar lagi memuaskan dahaga, dan yang satu lagi masin lagi pahit; serta Dia menjadikan di antara kedua-dua laut itu sempadan dan sekatan yang menyekat percampuran kedua-duanya.” (Surah Al-Furqan: 53)

Selain keindahan bahasa dan kata-kata yang mendalam, Al-Quran juga mengandungi keajaiban ilmiah yang menakjubkan. Banyak ayat dalamnya yang menggambarkan fenomena alam dan penemuan ilmiah yang dibuktikan baru-baru ini. Hal ini menunjukkan bahawa Al-Quran ialah kitab suci yang mencakup pengetahuan yang jauh melebihi zaman penurunannya.

Misalnya, Al-Quran menyebutkan tentang dua jenis air yang walaupun kedua-duanya berdampingan, air itu tidak bercantum kerana terdapat lapisan di antara kedua-duanya. Terdapat juga ayat-ayat Al-Quran tentang pembentukan janin manusia dengan terperinci. Al-Quran juga banyak menggambarkan fenomena alam yang lain.

Keajaiban ilmiah dalam Al-Quran merupakan bukti yang nyata bahawa Al-Quran ialah firman Allah swt yang tidak terbatas dan abadi. Ia sumber ilham bagi seluruh umat manusia, agar dipelajari keindahannya dan terus diamati keajaibannya.


KEBAIKAN AL-QURAN YANG MENYELURUH

“Dialah yang menurunkan kepada hamba-Nya keterangan-keterangan Al-Quran yang terang lagi nyata, kerana Dia hendak mengeluarkan kamu daripada gelap-gelita kepada cahaya yang terang-benderang. Dan sesungguhnya Allah Maha Belas Kasih, lagi Maha Mengasihani, terhadap kamu.” (Surah Al-Hadid: 9)

Al-Quran bukan sekadar kumpulan kata-kata yang indah bahasanya, malah merupakan panduan hidup bagi setiap insan.

Setiap ayatnya memberikan petunjuk dan membawa ilham bagi menjalani kehidupan dengan penuh kebaikan dan kebenaran. Ia juga menyuluh kepada hakikat bahawa kebaikan yang diberikan berpandukan unsur-unsur agama. Di mana Allah swt hendakkan kebaikan bagi hamba-Nya, sudah tentu ajaran kebaikan itu dibawa menerusi ayat-ayat Al-Quran.


Terdapat pelbagai nilai moral positif dalam Al-Quran. Antaranya ialah nilai kesabaran, kejujuran, kemurahan hati, kesetiaan, kepercayaan, keberanian, dan kebaikan bagi individu ataupun dari segi kehidupan sosial mereka. Al-Quran juga mengajarkan tentang cinta, perdamaian, kehidupan di dunia dan akhirat kelak.

Dalam kehidupan yang penuh cabaran, Al-Quran merupakan sumber ilham abadi. Keindahan bahasanya, keajaiban ilmiahnya dan juga panduan baik dalamnya terus memberikan ilham dan kekuatan agar kita tetap teguh dan bersikap positif.

Keindahan yang terkandung dalam Al-Quran mengajarkan kita supaya tidak menyerah dalam menghadapi kesulitan, begitu juga agar terus berusaha dan berprasangka baik kepada rancangan Allah swt.


Marilah kita luangkan masa mengamati keindahan Al-Quran dan mengambil ilham daripadanya untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik. Sertai seminar ‘ADIL Knowledge Retreat’ yang bertajuk ‘Dari Quran ke Hati: Menerapkan Al-Quran dalam Kehidupan Seharian’.

Para panelis akan merungkaikan nilai-nilai yang terdapat dalam Al-Quran serta panduan untuk menerapkan nilai-nilai tersebut dalam kehidupan harian kita.

Seminar ‘ADIL Knowledge Retreat’, ‘Dari Quran ke Hati: Menerapkan Al-Quran dalam Kehidupan Seharian’, akan berlangsung pada Jumaat, 28 Julai 2023, dari 8 malam hingga 10 malam, di Auditorium Masjid Sultan. Acara itu akan disampaikan dalam bahasa Inggeris.

Tiket berharga $10 dan boleh didapatkan di laman https://pagestohearts.eventbrite.sg


Ustazah Nur Hidayah merupakan Ketua Pegawai Kreatif di BY. HIFA GROUP LLP dan Editor Kanan AskHadith.Sg. Beliau berkelulusan ijazah sarjana muda dalam Usuluddin (Al-Quran dan Hadis) dengan kepujian dari Universiti Malaya, serta pemegang diploma pengajian profesional dalam psikologi gunaan moden dan psikologi positif dari United Kingdom.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >