Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

MASJID-MASJID DI SINGAPURA

Amalan korban di masjid: Budaya atau agama?

Jun 06, 2023 | 05:30 AM



AMALAN melaksanakan ibadah korban merupakan sunah Muakkadah atau sunah yang sangat digalakkan dalam Islam. Namun, selain mematuhi suruhan Allah swt, apakah keberkatan lain yang diraih daripada melaksanakan ibadah ini?


INTIPATI DAN TUJUAN UTAMA IBADAH KORBAN 

Tujuan pertama memupuk sifat taat. Selain satu tanda ketaatan seorang hamba kepada Allah swt, ibadah korban juga merupakan syiar Islam yang diturunkan kepada umat Rasulullah saw seperti firman Allah swt bermaksud:


Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu.” (Surah Al-Haj, ayat 37)


Kedua, membangkitkan sifat prihatin terhadap sekeliling kita. Ibadah ini memupuk sifat keprihatinan terhadap yang memerlukan dan memberi kesempatan kepada yang kekurangan untuk menikmati bahagian daging korban yang dilaksanakan. 

Ketiga, mencetuskan sifat cekal, sabar dan tawakal. Asal peristiwa ibadah ini berkait rapat dengan sifat tersebut, seperti Nabi Ibrahim as kekal sabar dan terus cekal dalam mengharungi ujian Allah swt menerusi perintah “mengorbankan” anaknya, Nabi Ismail as.


Maka, hikmah daripada kisah tersebut dapat diterapkan dalam kehidupan harian kita, sebagaimana Allah swt berfirman yang maksudnya:


“Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu musibah, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya jualah kami kembali.” ( Surah Al-Baqarah, ayat 156 )


Keempat ialah menghindari diri daripada sifat bakhil dan memupuk rasa bersyukur. Dua ayat berikut sudah memadai sebagai peringatan, firman Allah swt bermaksud:


Dan sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka daripada kurnia-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu lebih baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di leher mereka kelak pada hari kiamat. Dan kepunyaan Allah segala warisan yang ada di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Ali Imran, ayat 180)


Firman-Nya lagi di surah yang lain pula, bermaksud: 

“Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syariatkan penyembelihan korban sampai mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka.” ( Surah Al-Haj, ayat 34)


Maka dengan yang tersebut ini dapatlah kita menyusun kembali niat utama melaksanakan ibadah sunah korban dengan tujuan yang betul dan murni. 

Penyelenggaraan amalan korban di masjid-masjid telah lama dilakukan dalam kalangan masyarakat Muslim terutama sekali di kawasan Nusantara, malah ia dilaksanakan juga di banyak masjid di serata dunia. 

Namun, timbul persoalan adakah amalan korban di masjid-masjid hanya merupakan tradisi atau budaya, dan tidak berdasarkan ajaran agama Islam?

HUKUM MELAKSANAKAN
IBADAH KORBAN

Dari sudut hukum fiqh, hukum asal untuk ibadah korban pada asalnya adalah sunat muakkad, iaitu sunah yang digalakkan. Bagaimanapun, jika seseorang bernazar mahu menunaikan korban, maka beliau wajib melaksanakannya. Namun, tidak dinyatakan tempat khas di mana ibadah ini perlu dilaksanakan, sama ada ia lebih baik dilakukan di masjid ataupun di tempat lain. Malah terdapat pelbagai pendapat yang berbeza tentang tempat terbaik melaksanakan ibadah ini.


Terdapat beberapa sudut keprihatinan apabila kita melakukan ibadah korbah di kawasan masjid. 

Antaranya, kesucian. Dalam senarai sah solat adalah kawasan dan tempat yang kita dirikannya wajiblah kekal dalam keadaan bersih daripada segala bentuk najis, dalam Fiqh al-Ibadah – Syafiiyah dinyatakan:


“Dibenci (makruh) melakukan solat di tempat yang dekat dengan najis, meskipun tidak bersambung dengan najis. Seperti solat di tempat sampah atau tempat pemotongan haiwan.” (Fiqhul Ibadah, 1/331).


Yang kedua, bau yang kurang selesa. Sedangkan bawang boleh mengganggu solat, apakah pula penyembelihan binatang korban. Begitulah antara keprihatinan utama yang dibincangkan ulama terdahulu,  sekiranya korban itu ingin dilaksanakan di masjid. Namun, ada pula yang berpendapat bahawa amalan korban di masjid sejatinya merupakan sebahagian daripada ibadah dalam agama Islam. 

FUNGSI MASJID DALAM
SESEBUAH MASYARAKAT

Masjid juga berfungsi mewujudkan kesejahteraan dan ketertiban sosial melalui kuliah, kursus dan bengkel keagamaan. Dalam masyarakat majmuk seperti Singapura, masjid berperanan memberikan bimbingan agama yang berhikmah dan sesuai dalam pendekatan praktikal kehidupan harian kita. 

Masjid juga memiliki peranan penting membangunkan individu dan jati diri kebudayaan umat Muslim. Oleh sebab itu, masjid memiliki pelbagai fungsi untuk kemaslahatan umat Islam dalam menjalani kehidupan harian. Lantaran itu, amalan korban di masjid juga dianggap sebagai cara mempererat tali silaturahim dan membantu masyarakat yang memerlukan sokongan dan bantuan. 

Namun, jika sukar bagi masjid menjaga keprihatinan tersebut, maka lebih baik jika penyembelihan dilakukan di kawasan lain supaya tidak menjejas ibadah lain yang sedang dijalankan di masjid dan kesejahteraan jemaah dan masyarakat di sekelilingnya. Penting bagi masyarakat Islam kita memahami dan mengamalkan korban dengan betul sesuai dengan ajaran Islam. 

KESIMPULAN

Penjagaan kesucian dan kemuliaan tempat sujud itu sangat diutamakan, syarat telah diletakkan agar ia terjaga dan tidak dicemari, namun jika kiranya ia dapat diatasi dengan hikmah serta dapat memudahkan urusan semua pihak.

Maka persoalannya: Amalan korban di masjid: Budaya atau agama? 

Boleh dijawab dengan, “Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah, syarak mengata, adat memakai.”


KORBAN DI MASJID-MASJID
DI SINGAPURA

Sebanyak 52 masjid di serata Singapura akan menjalankan ibadah korban tahun ini. Kambing korban akan disembelih di Australia dan dagingnya diterbangkan ke Singapura dan diagihkan kepada sohibul korban, penerima zakat, pekerja migran dan mereka yang memerlukan di Singapura ini.


Mereka yang ingin membuat tempahan korban dengan mudah, boleh lungsuri laman www.ourmasjid.sg/korban.


Ustaz Fachrudin Dzaki Mohamed merupakan Pengurus Masjid di Masjid Ahmad Ibrahim.


Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda dengan kepujian tertinggi dalam Perundangan Islam daripada Universiti Islam Madinah serta Diploma Psikologi Pendidikan.


Beliau kini menyambung pengajian bagi ijazah sarjana dalam bidang Tafsir dan Ulum Al-Quran.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >