Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: PH-BN sedang usaha keras rampas 2 negeri dari PN-PAS

Jul 29, 2023 | 5:30 AM
MENJAMU SELERA DENGAN PEMIMPIN DAN RAKYAT: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menjamu selera dengan beberapa pemimpin PH-BN dan penduduk setempat selepas mendirikan solat Jumaat di Masjid Sultan Muhammad di Kuala Terengganu pada 28 Julai.
MENJAMU SELERA DENGAN PEMIMPIN DAN RAKYAT: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menjamu selera dengan beberapa pemimpin PH-BN dan penduduk setempat selepas mendirikan solat Jumaat di Masjid Sultan Muhammad di Kuala Terengganu pada 28 Julai. - Foto BH oleh ISMAIL ALI
BERSALAMAN DAN BERAMAH DENGAN JEMAAH: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa beramah dan bersalaman dengan jemaah solat Jumaat di masjid Sultan Muhammad di Kuala Terengganu pada 28 Julai.
BERSALAMAN DAN BERAMAH DENGAN JEMAAH: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa beramah dan bersalaman dengan jemaah solat Jumaat di masjid Sultan Muhammad di Kuala Terengganu pada 28 Julai. - Foto BH oleh ISMAIL ALI

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melahirkan keyakinan sambil berkata Kerajaan Perpaduan – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) – pimpinannya sedang berusaha keras untuk merampas dua negeri di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional dalam Pilihan raya Negeri ke-15 (PRN15) pada 12 Ogos ini.

Melayan satu-satunya soalan – daripada Berita Harian – selepas mendirikan solat Jumaat dan jamuan makan tengah hari di Masjid Sultan Muhammad di Kuala Terengganu pada 28 Julai sebelum bergegas menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, beliau, yang juga Pengerusi PH dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata:

 “Kami sedang berusaha keras untuk memenangi kededua negeri (Kedah dan Terengganu).”

Apabila ditanya lagi bagaimana jika anda (PH) memenangi satu daripada dua negeri itu, terutama Terengganu, Datuk Anwar menjawab ringkas: “Ia akan menjadi satu kemenangan besar.”

Dalam satu laporan media Malaysia pada 4 Julai lalu, beliau meluahkan keyakinan bahawa parti-parti politik yang sealiran dengan Kerajaan Perpaduan bukan sahaja akan mengekalkan tiga negeri sedia ada iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, malah akan merampas dua lagi negeri yang dikuasai pembangkang – PN, yang merupakan gabungan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRN15.

Ramai pengamat menyifatkan PRN15 sebagai ujian litmus atau petunjuk kritikal serta referendum penerimaan rakyat Malaysia terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Anwar.

Ia juga amat penting baginya kerana ini adalah PRN pertama beliau sebagai Perdana Menteri.

Pada sebelah pagi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden Umno, telah menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, di Kuala Terengganu.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu; Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

PRN15 pada Ogos ini melibatkan enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia menetapkan Hari Penamaan Calon pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

PRN15 melibatkan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40); Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

Untuk membentuk kerajaan negeri Terengganu yang baru, mana-mana parti politik dan gabungannya perlu memenangi sekurang-kurangnya 17 kerusi untuk mencapai majoriti daripada jumlah keseluruhan 32 kerusi yang dipertandingkan dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg