Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

Pola pilihan di Terengganu boleh berubah-ubah

Penduduk akur tidak ada isu besar tetapi 3 daripada 5 yang ditemui mahu lihat perubahan kerajaan
Jul 27, 2023 | 08:06 PM



Pola pilihan pengundi dalam Pilihan Raya Negeri di Terengganu bulan depan dijangka lebih dinamik yang boleh menyaksikan undi beralih kepada Kerajaan Perpaduan – Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) – atau kekal kepada gabungan kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, tiga daripada lima penduduk yang ditemui Berita Harian di ibu negeri Kuala Terengganu, dua daripadanya berusia dalam lingkungan awal 20-an tahun, meluahkan harapan akan berlaku perubahan kerajaan kerana mahu melihat lebih banyak kemajuan di negeri ini.


“Hati saya lebih minat kepada BN kerana saya mahu melihat lebih banyak kemajuan di Terengganu,” jelas Encik Kamarul Hakimi Abdullah, 26 tahun, jurujual kanan di gedung beli-belah Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di sini.

“Tetapi sejujurnya, tidak ada banyak isu yang boleh diperkatakan di Terengganu. Dalam banyak segi, kami menikmati pelbagai kemudahan, namun sebagai orang muda, saya mahu melihat lebih banyak peluang diberi kepada orang muda seperti saya untuk maju dalam pelbagai bidang, sama ada dari segi kerjaya atau sebagai usahawan.”

Menurut anak keempat dalam keluarga enam beradik ini, yang ayah mereka sudah bersara, kerajaan negeri sekarang di bawah PAS ada menyediakan bantuan bagi keluarga berpendapatan rendah tetapi penyalurannya agak tidak tetap dan beliau melahirkan harapan kerajaan dapat melicinkan proses pemberian bantuan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan.

Seorang lagi pengundi muda, yang dikatakan sebilangan pengamat “boleh jadi faktor penentu yang baru dalam politik di Terengganu”, ialah Cik Syasha Maisarah Juzaili, 21 tahun, yang mengendalikan sebuah gerai wangi-wangian di KTCC.

“Saya akan pilih BN untuk nikmati lebih banyak bantuan dan lihat lebih banyak kemajuan. Lagipun, ibu dan ayah saya juga penyokong BN.”

Beliau, yang mendakwa kerajaan PAS ada mengamalkan sikap mengutamakan kroni, tidak menunaikan kesemua janjinya.

“Saya terpaksa bekerja selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) – yang setaraf dengan GCE peringkat ‘O’ – untuk membantu keluarga saya kerana ayah saya, seorang pemandu lori, sering sakit-sakit. Beliau ada masalah batu karang dalam hempedunya dan memerlukan rawatan. 

“Keluarga seperti saya, yang tergolong dalam kelas B40 (pendapatan keluarga kurang RM 4,840 ($1,819) sebulan) perlukan lebih banyak bantuan, lebih-lebih lagi bantuan kewangan untuk membiayai kos rawatan ayah saya yang sakit dan memerlukan pembedahan,” kata Cik Syasya Maisarah, anak sulung dalam keluarga tiga beradik yang mula bekerja pada usia 17 tahun untuk menambah pendapatan keluarganya.

Encik Ahmad Rizal Adam, 43 tahun, yang berasal dari Kampung Kesom, di daerah Manir, seorang lagi penyokong BN, memberi gambaran lebih lengkap mengenai pola pilihan penduduk asal Terengganu.

“Sebenarnya setakat ini, tidak ada isu yang boleh digembar-gemburkan di Terengganu. Terengganu ni, sama ada BN yang berkuasa ke, PAS ke, sama sahaja. Pasal kami semua orang Melayu dan Islam. Yang berbeza cuma bendera kerajaan sahaja (biru dacing atau hijau berbulan),” kata pegawai kerajaan ini, yang ditemui di KTCC, salah sebuah gedung beli-belah terbesar di Kuala Terengganu.

Menurut beliau, walaupun terdapat perubahan kerajaan negeri daripada BN kepada PAS dalam dua pilihan raya negeri yang lalu, kemajuan yang dinikmati di Terengganu memuaskan penduduknya.

“Sebenarnya, apa yang dilihat di Terengganu ini sudah dibuat sejak daripada pemerintahan BN dulu. BN dah buat cukup dah. Cuma apabila kerajaan PAS ambil alih, mereka setakat merasmikan dan menambah baik segala rancangan dan pembangunan, itu sahaja,” ujar beliau.  

Bagi Encik Muhammad Arif Zakwan, 24 tahun, pula, beliau memilih untuk melihat kerajaan PAS terus memerintah.

“Hati saya lebih setuju untuk terus bersama kerajaan sedia ada iaitu PAS.

“Cuma, saya mahu melihat kerajaan memajukan sektor pelancongan dan membangunkan lagi sektor perkilangan bagi merancakkan ekonomi negeri.

“Terengganu ni mempunyai banyak pantai yang cantik dan ada taman negara. Kalau sektor ini dapat dimajukan lagi dan lebih banyak kilang dibangunkan di sini – yang ada tidak sebanyak dan sebesar di pantai barat Semenanjung Malaysia – pastinya ramai anak muda akan datang ke Terengganu. Buat masa ini, ramai anak muda Terengganu ke luar ke negeri lain untuk mencari pekerjaan,” kata jurujual peralatan kesihatan di KTCC .

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di enam negeri –Trengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan – pada 12 Ogos, dengan Hari Penamaan Calon pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

PRN15 melibatkan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40); Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

Dalam PRU14 pada 2018, PH menguasai tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala PAS dan PN berkuasa di Kedah, Kelantan serta Terengganu.

Untuk membentuk kerajaan negeri Terengganu yang baru, mana-mana parti politik dan gabungannya perlu memenangi sekurang-kurangnya 17 kerusi untuk mencapai majoriti daripada jumlah keseluruhan 32 kerusi yang dipertandingkan dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu.

“Kehidupan kami di Terengganu sama sahaja, tidak kira siapa yang membentuk kerajaan, PAS atau BN.

“Dalam PRN15 kali ini, saya pun tak tahu siapa nak pilih, mungkin ikut hati dan rasa pada ketika itu,” ujar Encik Syukor Rija, 43 tahun, seorang pegawai kerajaan yang berasal dari Wakaf Tapai, Marang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >