Adakah Kerajaan Perikatan Nasional (PN)-Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang menikmati kemenangan besar di Kedah dengan menguasai 14 daripada 15 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022 dapat mendabik dada dan menganggap ia akan menang lagi di negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) akan datang?
Belum pasti.
Ini kerana dinamika pola pengundian rakyat negeri itu yang cenderung memilih kerajaan berbeza dalam tiga PRN lalu sejak 2008 dan menyaksikan ia ditadbir Pakatan Rakyat (PR), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Kali ini, fokus tertumpu kepada sama ada PN dapat kekal memerintah Kedah setelah mula mentadbir negeri itu pada 2020 selepas bergabung dengan PAS.
Menurut satu laporan Malaysiakini, data PRN15 2022 daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan PN meraih lebih 60 peratus undi “sangat selamat” di Kedah.
Ini bermakna hanya separuh daripada keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah dianggap sebagai “sangat selamat” untuk PN, berbeza dengan Kelantan dengan lebih dua pertiga kerusi dalam kategori itu.
Malah, jumlah keseluruhan undi yang diraih PN di Kedah hanya 56 peratus, berbeza dengan Terengganu dan Kelantan di mana gabungan itu meraih hampir dua pertiga undi.
Para pengamat setempat turut berkata bahawa sentimen pengundi terhadap BN-PH juga menunjukkan trend positif dan menggalakkan.
Penganalisis politik dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, pula berpandangan Kedah negeri yang berpotensi menjadi negeri maju, dan berdasarkan faktor itu, Kerajaan Perpaduan merasakan pentadbiran negeri perlu seiring dengan kerajaan pusat agar pembangunan dapat diselaraskan.
Pensyarah Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UITM) Cawangan Kedah, Encik Firdaus Ramli, berpendapat faktor pengundi Melayu menjadi isu utama dalam menentukan kemenangan.
“Sentimen agama dan bangsa akan menjadi pola utama dalam menentukan kecenderungan pengundian khususnya di bahagian utara Kedah selain pengundi muda dan pengundi luar.
“Sekiranya BN-PH mampu tawarkan sesuatu kepada pengundi (peluang pasti ada), kerana ramai pengundi muda mengundi bagaikan mengikut trend, bukan kefahaman terhadap parti atau calon,” katanya.
Berdasarkan statistik daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat seramai 1,585,085 daftar pemilih bagi PRN Kedah, dengan sejumlah 104,284 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg