Undang-undang lebih tegas bagi mengekang penyalahgunaan kad SIM untuk melakukan jenayah telah dicadangkan selepas kes sedemikian meningkat empat kali ganda dalam masa dua tahun.
Rang Undang-undang Penguatkuasaan Undang-undang dan Perkara-perkara Lain yang dibacakan buat kali pertama di Parlimen pada 7 Mac, membolehkan polis mengambil tindakan lebih tegas terhadap mereka yang menyalahgunakan kad SIM tempatan untuk kegiatan jenayah.
Bilangan talian mudah alih tempatan yang terlibat dalam kes penipuan dan jenayah siber lain melonjak daripada 5,867 pada 2021 kepada 23,519 pada 2023, lapor The Straits Times.
Jumlah kerugian dalam kes sedemikian mencecah hampir tiga kali ganda, daripada $137 juta pada 2021 kepada $384 juta pada 2023.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata polis menghadapi kesukaran mendakwa mereka yang memberikan kad SIM masing-masing atau memberikan butiran kepada orang lain bagi mendaftar kad SIM.
Golongan seperti itu, yang digelar sebagai “pendaftar tidak bertanggungjawab” oleh MHA, biasanya mendakwa tidak tahu-menahu.
Pihak berkuasa tidak dapat mendakwa mereka, kerana undang-undang semasa memerlukan polis membuktikan bahawa mereka telah melakukan perbuatan sedemikian.
MHA menambah bahawa mereka yang terlibat dalam penipuan telah menggunakan talian mudah alih tempatan untuk menerima wang hasil penipuan melalui PayNow, dan telah menggunakan talian sedemikian untuk menyediakan akaun pemesejan dalam wadah seperti WhatsApp.
Mangsa penipuan kerugian $651.8 juta pada 2023, dengan rekod tertinggi lebih 46,000 kes dilaporkan.
Talian mudah alih tempatan juga telah digunakan dalam jenayah lain, dengan 1,329 talian digunakan dalam pinjaman wang tidak berlesen pada 2023.
Rang undang-undang itu juga menyasarkan pendaftar yang tidak bertanggungjawab dan peruncit terlibat.
Untuk menangani pendaftar tidak bertanggungjawab, dicadangkan bahawa menjadi satu kesalahan bagi seseorang menyerahkan kad SIM tempatan yang didaftarkan atas namanya sendiri, atau membenarkan butirannya digunakan untuk mendaftar kad SIM tempatan oleh orang lain, jika mereka percaya kad SIM akan disalahgunakan.
Bagaimanapun, mereka yang mempunyai alasan yang sah, seperti mendaftarkan kad SIM untuk ahli keluarga mereka atau benar-benar ditipu, tidak akan dikira bertanggungjawab atas perbuatannya itu.
Satu lagi kesalahan yang diusul adalah menyasarkan mereka yang menjadi broker kad SIM untuk disalahgunakan.
Seseorang akan bertanggungjawab jika mereka didapati mempunyai 11 atau lebih daripada kad SIM sedemikian, atau mempunyai kad SIM yang pernah digunakan untuk jenayah.
Kesalahan ketiga yang dicadangkan adalah menyasarkan peruncit yang memudahkan pendaftaran penipuan kad SIM tempatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg