Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cara derma dipermudah melalui ‘Infaq Fajar’

Oct 29, 2023 | 5:30 AM
MENABUNG UNTUK MASJID: Melalui projek lnfaq Fajar anjuran Masjid Alkaff Kampung Melayu, penderma boleh membawa pulang tabung derma yang diberikan pihak masjid agar seisi keluarga termasuk anak-anak kecil, dapat menyumbang sama.
MENABUNG UNTUK MASJID: Melalui projek lnfaq Fajar anjuran Masjid Alkaff Kampung Melayu, penderma boleh membawa pulang tabung derma yang diberikan pihak masjid agar seisi keluarga termasuk anak-anak kecil, dapat menyumbang sama. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Memberi peluang kepada orang ramai menderma kepada masjid dengan cara lebih mudah dan menanamkan tabiat menabung dalam keluarga – itulah langkah yang telah dimulakan oleh Masjid Alkaff Kampung Melayu dalam usahanya mengumpul dana untuk projek peningkatan masjid itu.

Pendekatan itu telah pun mendapat sambutan kerana ramai juga individu dan keluarga mereka telah memberi sokongan, menurut pengurus masjid tersebut, Ustaz Mohd Taufiq Mohd Ismail.

Projek pengumpulan dana dinamakan Infaq Fajar itu telah dilancarkan semasa sambutan Maulidur Rasul di masjid yang terletak di Bedok Reservoir Road itu pada 7 Oktober lalu.

‘’Masa itu lebih 50 tabung derma telah diedarkan daripada lebih 200 tabung yang telah kami sediakan. Inilah kali pertama kami mengadakan cara pengumpulan dana seperti ini,’’ kata Ustaz Mohd Taufiq.

Cara menderma untuk projek Infaq Fajar itu ialah pihak yang mahu menderma mengambil tabung dari masjid dan membawanya pulang ke rumah untuk dijadikan tabung bagi seisi keluarganya menyumbang kepada masjid itu.

Mereka boleh menabung berapa sahaja jumlah yang dimahukan setiap hari, yang sebaiknya dilakukan pada waktu subuh. Ini sesuai dengan ajaran Rasulullah saw yang menyatakan bahawa akan ada dua malaikat yang mendoakan kebaikan bagi mereka yang berinfak pada waktu subuh.

Masa yang diberikan untuk mengembalikan tabung tersebut berserta borang derma yang telah diberikan kepada penderma ialah enam bulan selepas tabung diambil, jelas Ustaz Mohd Taufiq.

‘‘Maklum balas yang kami terima ialah ia satu projek yang baik dan tidak memerlukan banyak sumber tenaga.

‘‘Bagi penderma pula ia juga tidak memberatkan. Mereka boleh memilih untuk menderma sedikit demi sedikit setiap hari. Nabi saw pun telah berpesan bahawa amalan yang dilakukan sedikit demi sedikit tetapi secara istiqamah itulah yang lebih baik.

“Satu lagi kebaikannya ialah ibu bapa boleh mengajak anak mereka menyumbang sama sambil mendidik mereka belajar menabung sejak kecil,’’ ujarnya lagi.

Tabung derma yang diedarkan itu berukuran sederhana, lengkap dengan logo masjid di permukaannya. Selain itu, masjid tersebut telah juga menjual beberapa barangan yang dianggap eksklusif daripada Masjid Alkaff Kampung Melayu, seperti kemeja-T, beg tangan serba guna dan payung yang mempunyai nama masjid, sebagai satu lagi cara mendapatkan dana peningkatan masjid itu.

Usaha mengumpul dana untuk masjid yang dibina pada 1994 dan belum pernah menjalani pembaikan secara besar-besaran itu telah dimulakan pada 2019, namun ia terhenti akibat pandemik Covid-19 pada tahun berikutnya.

Kini, ia dapat diteruskan dengan beberapa lagi usaha dilakukan termasuk memperoleh derma langsung daripada penduduk di rumah mereka, khususnya yang telah lanjut usia, kekurangan masa, tinggal jauh dan tidak tahu cara membuat pemindahan wang. Cara ini mendapat sambutan baik dengan jumlah yang dikumpulkan mantap dan memberangsangkan, kata Ustaz Mohd Taufiq.

Menurut beliau lagi, projek peningkatan masjid tiga tingkat itu bertujuan membesarkan ruang solatnya yang kini boleh memuatkan sekitar 3,000 jemaah, membina sebuah lif dan membaiki tandas serta permukaan luarannya.

Bilakah kerja peningkatan itu akan dimulakan belum dapat dipastikan, tetapi ia dijangka mengambil masa dua tahun, katanya.

CARA MENYUMBANG

1. PayNow UEN: S94MQ0017D, tulis ‘Derma Peningkatan Masjid’ di ruang ‘rujukan’.

2. Datang ke pejabat Masjid Alkaff Kampung Melayu, dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang bertempat di 200, Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

3. Untuk kutipan derma dari rumah, sila hubungi talian 6242-7244 bagi mengatur janji temu atau untuk pertanyaan lanjut.

4. Imbas kod QR yang tertera untuk memberikan sumbangan ikhlas anda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg