Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DBS, PropNex antara 84 firma S’pura dalam senarai Fortune 500 Asia Tenggara

Jun 18, 2024 | 3:02 PM
Edisi pertama Fortune 500 Asia Tenggara menampilkan 84 syarikat terbesar termasuk Kumpulan DBS yang berpangkalan di Singapura.
Edisi pertama Fortune 500 Asia Tenggara menampilkan 84 syarikat terbesar termasuk Kumpulan DBS yang berpangkalan di Singapura. - Foto SPH

Edisi Asia Tenggara pertama senarai Fortune 500, ranking syarikat terbesar mengikut hasil pendapatan, menampilkan 84 syarikat yang berpangkalan di Singapura.

Lima daripada 10 syarikat teratas yang disenaraikan mengikut hasil pendapatan mereka pada tahun fiskal berakhir 31 Disember 2023, berpangkalan di Republik.

Mereka termasuk syarikat perdagangan komoditi Trafigura, yang menduduki tempat pertama, dan Kumpulan DBS di tempat ke-10.

Kumpulan perniagaan pertanian Wilmar International dan Olam Group serta penyedia perkhidmatan pembuatan Flex adalah tiga firma terkemuka lain dari Singapura.

Dalam satu kenyataan pada 18 Jun, Fortune berkata Trafigura mendominasi ranking dengan hasil jualan AS$244 bilion (S$330 bilion).

“Pedagang komoditi milik persendirian dalam mineral, logam dan tenaga ini mempunyai pekerja paling sedikit dalam kalangan 10 syarikat teratas dalam senarai itu mengikut hasil pendapatannya dan merupakan yang kedua paling menguntungkan dalam kalangan kumpulan ini,” tambah firma media perniagaan global itu.

Keputusan cemerlang Trafigura muncul meskipun ia bergelut dengan lonjakan hutang tertunggak dan berdepan dengan siasatan rasuah. Pada Mac 2024, syarikat pedagang itu mengaku bersalah di Amerika Syarikat atas sedekad terlibat dalam rasuah minyak di Brazil dan bersetuju membayar kira-kira AS$127 juta.

Fortune, yang menerbitkan senarai tahunan 500 syarikat Amerika serta ranking global, Eropah dan China, berkata tumpuan diberikan kepada Asia Tenggara kerana pembangunan pesat ekonomi rantau ini dan kepentingannya yang semakin meningkat dalam ekonomi global disebabkan oleh peralihan rantaian bekalan.

Agensi hartanah PropNex muncul di tempat ke-395 dalam senarai Asia Tenggara itu, lapor The Straits Times.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex, Encik Ismail Gafoor, berkata syarikat itu berbangga disenaraikan.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelanggan, sekutu PropNex serta pihak berkepentingan kami atas sokongan kukuh anda selama ini.

“Kami amat berendah hati menjadi satu-satunya agensi hartanah disenaraikan dalam 500 syarikat Asia Tenggara itu bagi 2024,” kata Encik Ismail dalam satu hantaran di Facebook.

Syarikat-syarikat yang beribu pejabat di Singapura membentuk bahagian terbesar dalam senarai 10 teratas dan 20 teratas dalam kalangan negara Asia Tenggara, sama ada berdasarkan hasil pendapatan atau keuntungan.

Indonesia menyumbang syarikat paling banyak dalam senarai keseluruhan dengan 110 penyertaan. Thailand menduduki tempat kedua (107), Malaysia (89) dan Singapura (84).

Fortune berkata DBS muncul teratas dalam kalangan bank dalam kedua-dua hasil pendapatan dan keuntungan. Ia juga merupakan salah satu daripada hanya tiga syarikat yang menduduki 10 teratas dari segi hasil pendapatan dan keuntungan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg