Dia meyakinkan mangsanya bahawa dia boleh membantu mereka mendapatkan kad mainan Pokemon dan kad One Piece, tetapi melesapkan wang mereka berjumlah hampir $115,000.
Gara-gara perbuatannya, Aizil A. Rahim, 28 tahun, yang telah membayar ganti rugi hampir $9,400, dijatuhi hukuman penjara 16 bulan dan lapan minggu pada 4 Julai.
Aizil mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan pecah amanah melibatkan lebih $88,500 dan satu pertuduhan memberi maklumat palsu kepada penjawat awam.
Enam belas pertuduhan lain diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.
Pada masa kesalahan itu, Aizil adalah pemilik dua akaun di pasaran dalam talian Carousell.
Sekitar pertengahan 2022, dia mula menjual kad Pokemon dan One Piece, yang dia tahu adalah mahal, selepas menyemak harganya dalam talian.
Dia mengambil pratempahan daripada pelanggan dan kemudian mendapatkan kad daripada pembekal tempatan.
Sekitar Februari atau Mac 2023, dia mula mengiklankan pratempaha untuk kad Pokemon menerusi Carousell.
Pihak pendakwaan merujuk perkara itu sebagai “gelombang pertama pratempahan”.
Pada bulan berikutnya, Aizil mula ketagih membeli jam tangan, dan dia memberitahu penyiasat bahawa dia membelanjakan lebih $30,000 untuk hobi tersebut.
Dia juga mengumpul kad mainan bola sepak bernilai lebih $10,000.
Antara April dengan Mei 2023, Aizil mula mengiklankan pratempahan untuk kad dagangan One Piece pada akaun Carousell-nya.
Pelanggan yang berminat kemudian memindahkan wang ke akaun banknya.
Aizil sepatutnya menghantar kad mainan yang ditempah pelanggan sebaik sahaja kad itu dikeluarkan di Singapura dari Julai hingga September 2023.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Tay Jia En, memberitahu mahkamah:
“Tertuduh menyalahgunakan wang yang diterima dengan membeli barangan termasuk jam tangan, kad mainan (bola sepak) mahal, makanan, membeli-belah (dan) penginapan.
“Dia juga membeli kabinet untuk menyimpan semua jam tangan yang dibelinya.”
Aizil melancarkan satu lagi iklan pratempahan dari Julai hingga Oktober 2023. Ini melibatkan gelombang kedua pratempahan.
Dia berhasrat menggunakan wang yang dikumpul daripada gelombang kedua pratempahan itu untuk membayar balik pelanggan atau memenuhi tempahan gelombang pertama.
Aizil juga mengaku tidak pernah berniat menghantar tempahan kepada pelanggan.
Setiap kali pelanggan mula menyoalnya, dia akan berbohong dengan memberikan alasan yang termasuk dia dimasukkan ke hospital kerana “kemalangan”.
Skim Aizil akhirnya terlungkup apabila dia tidak dapat membayar balik pelanggannya.
Seramai 25 mangsa kemudian membuat laporan polis pada Jun dan Julai 2023.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg