Seorang pegawai risiko dan kawalan di sebuah firma insurans, yang berpendapatan lebih $11,000 sebulan, menggunakan kad kredit korporatnya untuk membuat 27 transaksi tanpa kebenaran melibatkan $29,674.
Raul Randhawa, warga Singapura berusia 44 tahun, mengaku bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah jenayah dan dijatuhi hukuman penjara empat bulan pada 30 Oktober, lapor The Straits Times.
Dia telah membuat pembayaran balik sepenuhnya.
Raul bekerja bagi AIG Apac apabila dia menandatangani sebuah borang yang menyatakan dia harus menggunakan kad Citibank hanya untuk kegiatan perniagaan berkaitan syarikat.
Borang itu juga menyatakan sekiranya dia menggunakan kad itu untuk membayar perbelanjaan peribadinya, dia mesti menyelesaikan pembayaran terus dengan Citibank dalam tujuh hari dan memaklumkan AIG Apac.
Namun, Raul kemudiannya mendakwa dia tidak pernah diberikan sembarang kad kredit korporat.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Gabriel Lee memberitahu mahkamah: “Tertuduh berkata dia berhutang beberapa rakan kerana dia berbelanja lebih daripada pendapatannya.
“Ini sejak dia terbang ke Jakarta dari Julai 2023 hingga Oktober 2023 untuk berpesta dengan rakan-rakannya.”
Raul mula bekerja sebagai pegawai risiko dan kawalan dengan firma itu pada Ogos 2020, dan peranannya termasuk melaksanakan dasar teknologi maklumat.
Dia diberi kad yang mempunyai had kredit $30,000.
Pada 25 Oktober 2023, Raul mengemukakan peletakan jawatannya dan diarah memulangkan semua harta syarikat.
DPP Lee berkata: “Tertuduh menunjukkan dalam borang melepaskan jawatannya bahawa dia tidak pernah diberikan kad kredit korporat.
“Ketika disoal, tertuduh mengulangi bahawa dia tidak pernah diberikan kad (seperti itu). “
Raul mengakui dia diberikan kad kredit itu hanya selepas dia ditunjukkan dokumen daripada jabatan sumber manusia syarikat itu.
Dia kemudian berkata dia akan memulangkan kad itu pada 6 November 2023. Syarikat tersebut membatalkan kad itu pada 3 November 2023.
Bagaimanapun empat hari kemudian, syarikat itu mendapati kad tersebut digunakan untuk membuat 27 transaksi tanpa kebenaran melibatkan $29,674.
Citibank memberitahu AIG Apac bahawa Raul sendiri meluluskan urus niaga itu, dan ini ditunjukkan di dalam mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar ke peranti mudah alihnya.
Dia bukan lagi pekerja AIG Apac pada 7 November 2023, apabila dia cuba memohon meningkatkan had kredit kad itu kepada $50,000, tetapi tidak diluluskan kerana AIG Apac telah membatalkan kad tersebut.
Raul juga membuat perubahan pada alamat surat-menyurat kad itu – dari lokasi AIG Apac ke rumahnya – walaupun dia tidak diberi kuasa untuk berbuat demikian.
Ikat jaminnya ditetapkan $10,000 dan Raul dijangka mula menjalani hukuman penjaranya pada 13 November.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg