Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Bekas peguam mengaku salah guna wang lebih $525,000

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bekas peguam mengaku salah guna wang lebih $525,000

Apr 22, 2024 | 10:33 PM



Seorang bekas peguam didakwa pecah amanah pada 22 April kerana menyalahgunakan lebih $525,000 wang anak guamnya, yang kemudiannya digunakan untuk perbelanjaan peribadi dan pembayaran balik hutang.

Soraya Hafsa Ibrahim, 58 tahun, mengaku bersalah atas tiga tuduhan, termasuk satu tuduhan menyediakan dokumen undang-undang dan menerima bayaran sesudah diberhentikan sebagai peguam.

Satu lagi tuduhan pecah amanah akan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman yang ditangguhkan kepada 3 Mei.

Timbalan Pendakwa Raya Niranjan Ranjakunalan dan Gladys Lim berkata Soraya, yang merupakan pemilik tunggal dan peguam tunggal di Soraya H. Ibrahim & Co, diminta menawarkan khidmatnya oleh mangsa pertama, yang dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai V1.

Pada 2019, V1 mendapatkan khidmat Soraya untuk membantunya dengan urusan perundangan berkaitan pentadbiran harta pusaka arwah ibunya.

V1 mempunyai fungsi intelek sempadan, di mana seseorang bukan dianggap kurang upaya dari segi intelek tetapi mempunyai keupayaan kognitif di bawah purata, dan bergantung sebahagiannya kepada penjaga, yang memantau dan memasak untuknya.

Walaupun begitu, V1 didapati sesuai oleh Institut Kesihatan Mental untuk menjadi pentadbir harta pusaka ibunya.

Selepas akaun bank dibuka dan dana daripada aset harta pusaka dimasukkan ke dalamnya, Soraya mula berfikir tentang menggunakan wang dalam akaun itu untuk mengatasi masalah kewangannya, kata pihak pendakwa.

Dia meminta V1 menandatangani cek yang digunakan untuk mengeluarkan sejumlah $527,002 daripada akaunnya dan memasukkan wang tunai itu ke dalam akaunnya sendiri.

DPP berkata dia menggunakan wang itu untuk membayar perbelanjaan peribadinya, termasuk pembayaran kad kredit, dan pembayaran balik hutang kepada bank, rakan dan saudara mara.

Pihak pendakwa menambah bahawa V1 telah mengamanahkan Soraya dengan akaun itu, dan tidak menyedari mahupun memberi kebenaran kepadanya menggunakan wang yang dikeluarkan untuk perbelanjaan peribadinya. Pengembalian penuh wang telah dibuat kepada V1.

Seorang peguam yang melakukan pecah amanah jenayah berhubung dengan harta yang diamanahkan boleh dipenjara seumur hidup atau dipenjara sehingga 20 tahun, dan boleh dikenakan denda.

Mahkamah juga dimaklumkan bahawa pada 2021, seorang lagi mangsa, V2, menghubungi Soraya kerana mahu ibunya disenaraikan sebagai pemilik sah sebuah flat. Soraya mengambil alih perkara itu dan mengambil yuran sebanyak $10,000, walaupun telah diberhentikan pada 2020 kerana memperdaya klien untuk menyerahkan $25,000. Klien diberi resit palsu.

Walaupun dia memberitahu V2 bahawa dia bukan seorang peguam dan sebaliknya menjalankan firma runding cara, dia tidak mendedahkan bahawa dia tidak dibenarkan untuk menjalankan tugas sebagai peguam dan oleh itu tidak dapat mengendalikan perihal undang-undang.

V2 membuat laporan polis pada 2022 kerana mendapati hanya sedikit kemajuan sahaja pada urusan yang patut dikendalikan Soraya. Soraya telah mengembalikan sepenuhnya yuran khidmat kepada V2.

Memohon bagi hukuman penjara antara 60 dengan 80 bulan, serta denda yang berat – jumlah itu diserahkan kepada pengamatan dan budi bicara mahkamah – pihak pendakwa berkata kesalahan Soraya menunjukkan dia sama sekali tidak menghiraukan kepentingan anak guamnya yang mempercayainya untuk dilindungi, dan membawa keburukan kepada kerjaya undang-undang.

“Tahap teruknya penyalahgunaan amanah dalam perihal ini tidak dapat dinafikan lagi dengan fakta bahawa V1 sangat terdedah pada diperkotak-katikkan kerana fungsi intelek sempadannya,” tambah DPP.

Dalam mitigasinya, peguam bela Shashi Nathan dan Harjeet Kaur berkata anak guam mereka tidak didorong oleh ketamakan, tetapi mahu membantu anaknya, yang mempunyai hutang hampir $600,000.

Sambil menyatakan bahawa anak guam mereka berasa kesal, peguambela menambah:

“Ini bukan Soraya sebagai peguam, tetapi sebagai seorang ibu. Walaupun ini sama sekali bukan alasan untuk tindakannya, apa yang ibu ini fikirkan ialah, ‘Bagaimanakah saya hendak menyelamatkan anak saya?’”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >