Hujan lebat dijangka turun sekali lagi pada hujung minggu dari 17 hingga 19 Januari apabila lonjakan monsun kedua 2025 melanda negara.
Keadaan itu dijangka berlaku hanya beberapa hari selepas episod pertama berakhir pada 13 Januari, lapor The Straits Times.
Kali ini lonjakan monsun kedua mungkin membawa cuaca berangin dan lebih sejuk dengan hujan petir sederhana hingga lebat sekali-sekala di Singapura dan sekitarnya, kata Perkhidmatan Kaji Cuaca Singapura (MSS) dalam laporan tinjauan cuaca bagi tempoh dua minggu yang dikeluarkan pada 16 Januari.
Kawasan pantai boleh menyaksikan lebih banyak banjir kilat semasa gelombang monsun hujung minggu ini, kerana air pasang dijangka lebih tinggi berbanding lonjakan monsun sebelumnya.
Semasa tempoh pasang surut bermusim, adalah perkara biasa bagi kawasan rendah di sepanjang Taman East Coast ditenggelami air walaupun tanpa hujan yang berterusan.
Pada 17 Januari, air pasang dijangka mencecah sehingga 3.2 meter pada sebelah petang, menurut maklumat daripada Penguasa Kelautan dan Pelabuhan (MPA), yang diterbitkan di laman web Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Pada 18 Januari pula, air pasang boleh mencecah 3.1 meter pada sebelah petang.
Air pasang tertinggi semasa lonjakan monsun pada 10 hingga 13 Januari ialah 2.9 meter.
Dalam hantaran Facebook pada 16 Januari, agensi air negara PUB berkata air pasang besar ditambah dengan hujan lebat boleh mengakibatkan paras air tinggi di longkang sekitar kawasan pantai.
“PUB akan memantau ramalan itu dengan teliti dan mengeluarkan amaran banjir mengikut keperluan,” tambahnya.
Suhu dijangka menurun kepada sekitar 22 darjah Celcius pada beberapa hari pertama dalam dua minggu akan datang, bertepatan dengan lonjakan monsun.
Selepas itu, suhu diramalkan antara 24 darjah Celcius dengan 34 darjah Celcius pada kebanyakan hari, kata MSS, yang terletak di bawah NEA.
Secara keseluruhan, hujan yang turun bagi separuh kedua bulan Januari dijangka melebihi purata di kebanyakan kawasan di sini.
Episod terakhir hujan tanpa henti menyebabkan suhu menjunam hingga 21.6 darjah Celcius di Newton yang membawa bersama tiupan angin kencang serta memecahkan rekod hujan yang turun pada Januari.
Akibatnya, banjir kilat berlaku, pokok tumbang dan jalan berlubang.
Penerbangan pesawat juga ditangguhkan dan dilencongkan ke lapangan terbang berdekatan.
Singapura kini berada dalam fasa Monsun Timur Laut – yang cenderung berlarutan dari Disember hingga Januari – dan fenomena ini adalah perkara biasa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg