Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PUB keluarkan amaran risiko banjir kilat 10-13 Jan dek lonjakan monsun

Jan 9, 2025 | 4:09 PM
Pemandu meredah jalan yang terjejas banjir di Balmoral Road, pada 29 Disember 2024.
Pemandu meredah jalan yang terjejas banjir di Balmoral Road, pada 29 Disember 2024. - Foto PEMBACA ST

Banjir kilat dijangka berlaku antara 10 dengan 13 Januari apabila lonjakan monsun dijangka melanda Singapura.

Agensi air negara PUB mengeluarkan amaran pada 9 Januari bahawa hujan amat lebat kemungkinan akan memenuhi saluran dan longkang Singapura sewaktu tempoh ini, yang akan menyebabkan banjir kilat berlaku secara tiba-tiba dan tertumpu di beberapa kawasan.

Lonjakan monsun berlaku apabila kelajuan angin meningkat secara mendadak, yang menyebabkan udara sejuk bergerak ke arah selatan di Laut China Selatan.

Ia boleh menyebabkan suhu turun kepada 22 darjah Celcius di beberapa kawasan, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan pada 9 Januari.

NEA menambah: “Tempoh hujan lebat berserta petir yang sederhana hingga kuat, dengan keadaan sejuk dan berangin, boleh dijangkakan.”

Amaran ini dikeluarkan menyusuli hujan lebat berturut-turut yang  berlaku baru-baru ini.

Monsun timur laut yang berterusan dan hujan lebat dengan jumlah rekod menyebabkan sekurang-kurangnya tiga kejadian banjir kilat pada penghujung 2024.

Pada malam 29 Disember, hujan lebat melanda kawasan seperti Dunearn Road, Bukit Timah Road berhampiran King Albert Park, dan Balmoral Road, yang menyebabkan banjir kilat, lapor The Straits Times (ST).

Begitu juga pada 22 November, dua kejadian banjir kilat berlaku di Yishun dan Potong Pasir akibat hujan lebat.

Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada 2 Januari berkata mereka sedang memantau keadaan La Nina di Singapura – satu fenomena iklim yang membawa lebih banyak hujan. 

Ini bermakna cuaca beberapa bulan akan datang pada 2025 dijangka lebih basah.

Sebagai sebahagian daripada usaha mempersiapkan orang ramai menghadapi banjir, melalui kempen ‘Get Flood-wise in a F.L.A.S.H.’ yang dilancarkan pada 20 November 2024, PUB menasihati orang awam supaya:

  1. F – ‘Follow’: Ikuti amaran banjir PUB;
  2. L – ‘Learn’: Ketahui cara bersedia menghadapi banjir;
  3. A – ‘Avoid’: Elakkan kawasan banjir;
  4. S – ‘Share’: Kongsi maklumat terkini banjir PUB; dan
  5. H – ‘Help’: Bantu orang lain jika mampu.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg