Makanan seperti nasi lemak, sambal ketam, roti perata, kari dan banyak lagi akan menjadi inspirasi dan tarikan utama dalam Perarakan Chingay 2025, yang akan didadakan di Bangunan Pit F1 pada 7 dan 8 Februari.
Bertema, ‘kegembiraan’, perarakan jalanan tahunan pelbagai budaya yang dianjurkan oleh Persatuan Rakyat (PA) itu juga akan menjadi salah satu acara besar pertama sempena memperingati ulang tahun ke-60 Singapura pada 2025, lapor The Straits Times.
Acara gilang-gemilang itu dijangka membangkitkan selera, dengan kereta berhias berinspirasikan makanan, pakaian bertemakan makanan dan seni pemasangan PAssionArts yang mencerminkan warisan sajian yang dikongsi di Singapura dan kegembiraan menjamu selera secara bersama.
Lebih 4,000 penghibur daripada 150 organisasi dijangka memeriahkan acara tersebut.
Acara itu akan memikat penonton dengan susun atur perarakan 360 darjah dan pentas dramatik empat tingkat, bagi menampilkan kekayaan budaya, bakat seni dan semangat kebersamaan Singapura.
Singapura dan Malaysia akan bersama-sama mencalonkan perarakan itu untuk disertakan dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada Mac 2025.
Warisan budaya tidak ketara merujuk kepada tradisi atau ekspresi hidup yang diwarisi antara generasi, seperti persembahan seni, amalan sosial dan upacara.
Lembaga Warisan Negara (NHB) menyatakan pada 5 November bahawa pencalonan itu adalah bagi memperingati ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg