Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, M’sia calonkan Chingay dalam senarai Unesco

Pencalonan ketiga S’pura untuk Senarai Perwakilan Unesco
Nov 5, 2024 | 7:24 PM
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (tengah), menghadiri acara di Kelab Masyarakat Nee Soon South pada 5 November, yang disertai pengamal serta anggota masyarakat yang dikaitkan dengan Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) bagi Kemanusiaan.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (tengah), menghadiri acara di Kelab Masyarakat Nee Soon South pada 5 November, yang disertai pengamal serta anggota masyarakat yang dikaitkan dengan Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) bagi Kemanusiaan. - Foto ZAOBAO

Singapura dan Malaysia akan mencalonkan perarakan Chingay sebagai elemen bagi Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) bagi Kemanusiaan dalam Senarai Perwakilan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada akhir Mac 2025.

Ini akan menandakan pencalonan Unesco yang ketiga bagi Singapura untuk Senarai Perwakilan, dan pencalonan multinasional yang kedua.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkata pencalonan perarakan Chingay menandakan hubungan dua hala sepanjang 60 tahun antara Singapura dengan Malaysia, dan akan menjadi sebahagian daripada sambutan kemerdekaan Singapura ke-60 atau SG60.

Beliau berkongsi demikian di satu acara yang disertai pengamal serta anggota masyarakat yang dikaitkan dengan ICH di Kelab Masyarakat Nee Soon South, pada 5 November.

“Ia (Chingay) bukan sekadar perarakan, ia adalah perarakan kita bersama.

“Kami amat berbangga dan berbesar hati untuk berkongsi bahawa Singapura dan Malaysia telah bersetuju untuk mencalonkan Chingay ke dalam senarai perwakilan Unesco bagi ICH bersama.

“Pencalonan bersama Chingay ke dalam senarai perwakilan Unesco ini akan menjadi sebahagian daripada perayaan SG60 kami.

“Ia juga menggariskan kepentingan Chingay untuk memainkan peranan dalam menyatukan rakyat Singapura dari semua latar belakang merentasi masyarakat etnik yang pelbagai, yang melihat ini sebagai perarakan bersama,” kata Encik Tong.

Keputusan untuk pencalonan ini dijangka akan diumumkan paling awal pada penghujung 2026.

Perarakan Chingay mewakili sebahagian besar sejarah budaya bersama Singapura dan Malaysia, dan terus diamalkan secara aktif di kededua negara, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB), Persatuan Rakyat (PA) dan Chingay Parade Singapore pada 5 November.

Antara penggiat seni yang telah mengambil bahagian dalam perarakan Chingay sejak 1978 ialah Encik Osman Abdul Hamid, koreografer dan guru tari.

Beliau, yang juga penerima Anugerah Peneraju Warisan ICH yang disampaikan oleh NHB, memberitahu Berita Harian (BH) bahawa Chingay merupakan wadah yang baik untuk menghimpun rakyat bersama untuk belajar tentang budaya dan warisan Melayu.

Mengenai pengalamannya sebagai pereka tari untuk kontinjen Melayu dalam perarakan Chingay, beliau berkata:

“Kami mempunyai pentas dan ada kalanya jalan raya juga untuk membuat persembahan.

Ia memberikan saya ruang menguji tahap kreativiti saya, bagaimana ingin menerangkan idea saya dari segi koreografi dan mengembangkan visual juga untuk dinikmati penonton.”

Bertemakan Kegembiraan atau ‘Joy’, perarakan Chingay bakal berlangsung pada 7 dan 8 Februari 2025 atau hari ke-10 dan ke-11 Tahun Baru Cina.

Tiket akan tersedia dijual mulai 6 November 2024 dan pemegang kad PAssion boleh menikmati diskaun eksklusif awal Chingay 2025 sebanyak 60 peratus antara 6 November dengan 3 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg