Perkhidmatan kereta api telah disambung di Laluan Timur-Barat (EWL), selepas kelewatan selama tiga jam disebabkan kerosakan landasan di stesen Jurong East pada pagi 4 Julai.
Meskipun perkhidmatan kereta api tersedia semasa tempoh kelewatan, namun kereta api bergerak lebih perlahan.
Perkhidmatan kereta api biasa disambung secara berperingkat mulai 7.48 pagi, kata pengendali kereta api SMRT.
Kelewatan itu adalah akibat kerosakan mesin penentu, kata SMRT dalam hantaran di Facebook pada 8.18 pagi, lapor The Straits Times.
“Mesin penentu mengawal pergerakan kereta api di persimpangan rel apabila kereta api menukar landasan. Adalah penting mesin penentu berfungsi sepenuhnya agar operasi kereta api selamat,” tambah kenyataan itu.
Atas sebab keselamatan, kereta api bergerak pada kelajuan lima kilometer sejam berhampiran mesin penentu selepas kerosakan dikesan, kata SMRT.
“Bagi membetulkan kerosakan itu, kakitangan kami pergi ke landasan untuk menyiasat isu berkenaan,” kata SMRT dalam kenyataannya.
Perkhidmatan bas biasa dan bas penghubung percuma, yang tersedia antara stesen Clementi dengan Boon Lay di perhentian bas yang ditetapkan, telah dihentikan.
Pada 7.25 pagi, SMRT mengumumkan kerosakan landasan itu, yang berlaku di stesen tersebut kira-kira 5 pagi.
SMRT menasihatkan penumpang supaya menambah hingga 30 minit masa perjalanan masing-masing.
Penumpang juga diminta mengambil laluan lain, termasuk Laluan Thomson-East Coast, Laluan Downtown dan Laluan Utara-Selatan, menuju ke bandar.
Pada 8.10 pagi, SMRT menyatakan kerosakan telah dibaiki dan perkhidmatan kembali pulih seperti biasa secara beransur-ansur.
Cik Alice Low, yang bekerja di sebuah klinik di Novena, lewat sedikit ke tempat kerja kerana kerosakan yang berlaku itu.
Beliau menaiki kereta api di stesen Boon Lay pada 6.45 pagi, dan apabila tiba di stesen Jurong East, semua penumpang diarah turun.
Memandangkan stesen kereta api itu sesak dan terpaksa menunggu lama sebelum boleh menaiki kereta api EWL yang tersedia, jadi beliau membuat keputusan mengambil laluan Utara-Selatan untuk pergi ke stesen Novena.
“Nasib baik saya pergi sangat awal,” katanya, sambil menambah bahawa jika tidak, beliau akan lewat ke tempat kerja.
Pada 3 Jun, kejadian gangguan khidmat MRT di Laluan Utara-Selatan menyebabkan ramai penumpang terkandas di beberapa stesen dan perhentian bas terjejas.
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, menyatakan gangguan tersebut adalah yang pertama disebabkan oleh panahan petir sejak lima tahun lalu.
Memandangkan bahagian landasan kereta api antara stesen Kranji dengan Marsiling terdedah kepada kilat, ada kemungkinan panahan petir menyebabkan penangkis kilat itu rosak lebih cepat dan gagal berfungsi pada hari tersebut, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg