Insiden gangguan khidmat MRT di Laluan Utara-Selatan (NSL) pada 3 Jun lalu, yang menyebabkan ramai penumpang terkandas di beberapa stesen dan perhentian bas yang terjejas, adalah gangguan MRT pertama disebabkan oleh panahan petir sejak lima tahun lalu, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Memandangkan bahagian landasan kereta api antara stesen Kranji dengan Marsiling terdedah kepada kilat, berkemungkinan panahan petir yang lalu sudah menyebabkan penangkis kilat itu rosak dengan lebih cepat dan gagal berfungsi pada hari tersebut.
Ini menyebabkan kehilangan bekalan kuasa yang mengganggu khidmat kereta api di bahagian utara laluan kereta api itu, kata beliau.
Memberi butiran lanjut mengenai gangguan khidmat kereta api itu dalam jawapan bertulis Parlimen pada 2 Julai, Encik Chee berkata penangkis kilat berkenaan telah diganti.
Beberapa pemeriksaan yang dijalankan mendapati bahawa penangkis kilat lain di sekitar laluan MRT itu berada dalam keadaan baik, lapor The Straits Times (ST).
Menurut Encik Chee, pengendali kereta api tersebut, SMRT, telah mematuhi proses penyenggaraan yang disarankan oleh syarikat pengeluar komponen penangkis kilat tersebut.
Bagaimanapun, menyusuli insiden pada 3 Jun lalu, pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan syarikat pengeluar itu dan pengendali kereta api di sini untuk menyemak semula berapa kerap penangkis kilat disenggara.
“Sistem perlindungan kilat yang sedia ada bagi rangkaian MRT kita mematuhi piawaian tempatan dan antarabangsa bagi memastikan keselamatan penumpang kita,” tambah Encik Chee semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee) dan Encik Melvin Yong (Radin Mas).
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mendapati bahawa gangguan khidmat kereta api antara stesen Choa Chu Kang dengan Woodlands disebabkan penangkis kilat berhampiran stesen Kranji yang rosak setelah terkena panahan petir pada 3 Jun.
Penangkis kilat berfungsi melindungi peralatan luar daripada lonjakan kuasa, seperti daripada panahan petir, tetapi ia tidak berfungsi pada hari tersebut.
Jurutera SMRT kemudian menjalankan tugas memulihkan bekalan kuasa bagi khidmat kereta api itu.
Dalam penilaiannya terhadap insiden itu yang menyebabkan khidmat kereta api tergendala selama lebih dua jam semasa perjalanan waktu sibuk sebelah petang, LTA menyatakan pada 15 Jun bahawa keadaan penangkis kilat itu mungkin rosak dengan peredaran masa.
Dalam jawapan bertulis Parlimen, Encik Chee berkata siasatan terhadap insiden gangguan khidmat kereta api pada 3 Jun itu masih dijalankan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg