Mendekati orang ramai dan meluaskan jangkauan dengan melibatkan diri dalam acara pameran di Singapore Expo. Itulah usaha terbaru tahun ini yang dijalankan Masjid Hasanah demi menambah dana untuk projek peningkatannya.
Pelbagai kegiatan menarik telah diatur bagi pameran yang bertema ‘Mega Wedding & Lifestyle 2024’ bermula dari 12 hingga 14 Januari, 10 pagi hingga 10 malam.
Ia termasuk acara khatam Al-Quran Muslimah bersama Ustazah Sumah Fadalee dan sembang santai bersama Ustaz Muhammad Fazli Naim, Ustaz Badrussalam Dja’far dan Ustaz Syahid Salleh pada 12 Januari.
Pada 13 Januari, diadakan acara selawat Nabi saw oleh kumpulan The Mi’raj Project, upacara ‘tahnik’ (memasukkan sedikit makanan manis seperti kurma ke dalam mulut bayi baru lahir sebelum diberi susu) oleh kumpulan dakwah Masjid Hasanah, dan ceramah motivasi oleh Ustaz Nuzhan Halim dan Zan Sofiyan.
Pada 14 Januari, kegiatan senaman zumba beramai-ramai diadakan dengan pimpinan Cik Hasnah Masnod. Acara ‘Tanyalah Naib Kadi’ bersama Ustaz Syafaat Syonan, dan ceramah motivasi kedua pula dijalankan, kelolaan Ustazah Suaidah Salim dan Cik Marina Yusoff.
Menerangkan lebih lanjut, pegawai sokongan pentadbiran Masjid Hasanah, Cik Faridah Markalee, berkata ini kali pertama Masjid Hasanah dijemput menyertai program di Singapore Expo.
‘‘Pengalaman mengurus keseluruhan acara ini membuat saya lebih peka terhadap keperluan masyarakat sambil berusaha mengumpul dana untuk masjid kami. Saya dapat berbincang dengan teman-teman kerja, merancang atur cara dan merasai tanggungjawab sebagai ketua,’’ katanya, yang bertindak sebagai pengurus acara bagi pihak Masjid Hasanah.
Cik Faridah menerangkan lagi, antara usaha yang telah dilakukan oleh pihak masjid itu ialah mencari sokongan daripada M³, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan Distrik Barat untuk menjayakan pameran perkahwinan dan gaya hidup di ekspo itu. Turut memberi sokongan ialah syarikat seperti Sunshine Bakeries, Hezom International Pte Ltd dan House of ILM.
‘‘Selain itu, kami menjual kurma dengan slogan ‘Amalkan Makanan Sunnah’ untuk membantu umat Islam menyambut bulan Ramadan. Justeru, kami mengalu-alukan sokongan daripada masyarakat setempat agar mengunjungi tempat kami di Reruai L16,’’ tambah Cik Faridah.
HULUR DERMA
Untuk menderma kepada dana peningkatan Masjid Hasanah, ikut cara berikut:
1. PayNow ke UEN: S70MQ0042B.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 591-070164-001. Isikan di ruang ‘rujukan’ dengan ‘wakaf’ atau ‘infak’. Jika anda inginkan resit, sila isikan borang di www.linktr.ee/hasanahmosque.
3. Kirim cek atas nama ‘LPM Hasanah’. Poskan ke alamat Masjid Hasanah, 492 Teban Gardens Road, Singapura 608878. Tuliskan nama, alamat dan nombor telefon di belakang cek.
4. Untuk pertanyaan, sila hubungi pejabat Masjid Hasanah di talian 6561-7990, dari Isnin hingga Jumaat (9 pagi hingga 5 petang) atau Sabtu dan Ahad (9 pagi hingga 1 tengah hari).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg