Anak beruang panda pertama yang dilahirkan di Singapura, Le Le, akan dipulangkan ke China pada Disember ini.
Beruang panda yang disayangi itu akan mengucapkan selamat tinggal kepada peminatnya di Singapura pada 20 November ini apabila acara perpisahan diadakan di kawasan hutan beruang panda, Pavilion Capital Giant Panda Forest, di Taman River Wonders.
Le Le kemudian akan dikuarantin sebelum ia pergi ke China pada “separuh kedua Disember”, menurut Mandai Wildlife Group (MWG) dalam satu kenyataan pada Jumaat (22 Sep).
MWG menambah, Le Le sudah melepasi hari lahirnya yang kedua dan kini lebih berdikari.
Dalam peringkat kehidupan seterusnya, beruang panda itu akan kembali pulang ke China untuk “memenuhi misi penting dengan menyumbang kepada pemuliharaan spesies beruang panda besar”, menurut kenyataan itu.
Beruang panda itu telah menunjukkan tanda-tanda berdikari yang meningkat seperti makan, rehat dan main sendirian, tambah kenyataan tersebut.
Ibunya, Jia Jia, juga telah menunjukkan “sedikit tingkah laku mengelak” seperti menjauhkan diri apabila Le Le mendekati ibunya. Di alam liar, perubahan tingkah laku pada ibu beruang panda mengakibatkan anak beruang menolak mereka.
“Semua ini adalah sebahagian daripada perkembangan peringkat panda besar yang bersendirian secara alam semula jadi,” kata Mandai Wildlife Group.
Di bawah perjanjian pinjaman beruang panda China, anak beruang yang dilahirkan di negara asing akan dipulangkan kepada China apabila ia mencapai usia dua tahun.
China meminjamkan haiwan tersebut kepada negara-negara asing sebagai tanda muhibah, satu usaha yang telah menjadi popular yang dikenali sebagai “diplomasi panda”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg