Seorang lelaki didakwa di mahkamah pada 5 September atas peranannya sebagai dalang kes cubaan merompak seorang remaja yang gagal pada Ogos.
Benedict Yee Hong Fai, 29 tahun, juga dihadapkan satu pertuduhan menyebabkan kecederaan secara sukarela terhadap remaja berusia 19 tahun itu ketika cuba merompaknya.
Yee, yang kini ditahan reman, tidak membuat sebarang pengakuan.
Kesnya akan didengar lagi pada 12 September, lapor The Straits Times.
Dia dituduh menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menyerang dan cuba merompak remaja lelaki itu sebanyak $32,000 di luar pusat beli-belah Hougang Green pada 29 Ogos.
Dalam satu kenyataan pada 5 September, polis berkata siasatan mendedahkan bahawa Yee telah menghubungi remaja itu pada 29 Ogos melalui wadah pemesejan, Telegram, menawarkan mata wang kripto untuk ditukar dengan wang tunai.
Yee mencadangkan bertemu di Hougang Green untuk menukar kira-kira $32,000 tunai dengan mata wang kripto, yang dipersetujui oleh remaja itu.
Yee kemudian didakwa menyuruh dua lelaki lain untuk menyerang remaja itu semasa pertemuan tersebut dengan niat untuk merompak wangnya.
Dalam kejadian sekitar 6 petang itu, remaja tersebut sedang menunggu di luar pusat beli-belah berkenaan apabila dia berhadapan dengan dua lelaki yang tidak dikenali.
Ketika bertelagah, remaja itu ditumbuk oleh salah seorang daripada mereka.
Remaja tersebut segera meninggalkan lokasi sebelum lelaki berkenaan sempat mencuri wang yang dibawanya.
Polis berjaya mengesan ketiga-tiga lelaki itu selepas mengenal pasti identiti mereka melalui siasatan susulan dan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta kamera polis.
Tidak diketahui di mana Yee berada ketika kejadian itu berlaku.
Ketiga-tiga lelaki ditahan antara 30 Ogos dengan 3 September.
Kedua-dua lelaki yang menyerang remaja itu sedang membantu siasatan dan belum didakwa.
“Polis tidak akan bertolak ansur dengan tindakan jenayah sedemikian dan tidak akan teragak-agak menahan pesalah dan menangani mereka mengikut undang-undang,” kata polis.
Mereka yang didapati bersalah menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg