Seorang lelaki memaksa anak lelakinya yang berusia empat tahun memakan hujung cili apabila dia berbohong selepas mengotorkan dirinya.
Budak itu kemudiannya jatuh pengsan sebelum meninggal dunia.
Laporan bedah siasat mendedahkan mangsa meninggal dunia akibat halangan saluran pernafasan akut oleh objek asing dan hujung cili didapati menghalang laluan udaranya.
Pada 30 Mei, bapa berusia 38 tahun itu mengaku bersalah menyebabkan kematian anaknya dengan melakukan perbuatan terburu-buru dan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan.
Lelaki itu tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah untuk melindungi identiti mangsa, yang mempunyai adik-beradik.
Dalam kejadian pada 2 Ogos 2022, bapa kepada empat anak itu berada di flatnya di Sengkang apabila dia menyedari mangsa berbau najis sekitar 1.50 tengah hari.
Ketika itu, anaknya sedang dilatih untuk ke tandas dan sepatutnya memberitahu ibu bapanya jika dia perlu melegakan dirinya, lapor The Straits Times.
Apabila budak itu – yang disebutkan dokumen mahkamah sebagai V1 – menafikan mengotorkan dirinya, bapanya menyuruh dia makan lada sebagai cara mendisiplinkan anaknya itu.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Sheldon Lim memberitahu mahkamah:
“Memandangkan V1 enggan makan cili tersebut, tertuduh duduk di atas kerusi di atas V1, yang berbaring telentang, dan menyumbatkan hujung cili ke dalam mulut V1.”
Mangsa terus berlari sambil mengisyaratkan kerongkongnya. Dia muntah dan rebah tidak lama kemudian.
Lelaki itu segera memasukkan jarinya ke dalam mulut anaknya itu dengan tujuan mengeluarkan sebarang sumbatan tetapi gagal.
Lelaki itu kemudian bergegas membawa anaknya ke klinik berhampiran tetapi doktor di situ mendapati V1 tiada nadi dan tidak bernafas.
Paramedik ambulans yang tiba kemudian segera melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) ke atas budak itu ketika mereka menuju ke Hospital Besar Sengkang.
Budak itu disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.
DPP Lim telah meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara sembilan bulan dengan setahun ke atas bapanya kerana risiko memaksa anak kecil makan objek kecil ketika baring adalah begitu jelas.
Peguam bela, Encik Muhammad Taufiq Suraidi, merayu agar anak guamnya dikenakan penjara tujuh bulan.
Encik Taufiq menambah bahawa anak guamnya amat menyesal dan rasa bersalah, dan dia telah didiagnosis dengan gangguan kemurungan selepas tragedi itu.
Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Hakim Daerah Kanan Ong Hian Sun berkata ini adalah kes menyedihkan dan boleh dicegah.
Di bawah undang-undang, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg