KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad telah melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Isnin (24 Februari) dua jam selepas mengirim surat peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia kepada Yang di-Pertuan Agong.
Beberapa sumber memberitahu The Straits Times (ST) bahawa tindakan Dr Mahathir mengundur dirinya sebagai ketua parti itu adalah untuk memprotes rancangan presiden PPBM, Datuk Muhyiddin Yassin yang bercadang untuk keluar daripada kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan bekerjasama dengan parti pembangkang UMNO dalam satu kerajaan baru.
"Sewaktu pertemuan PPBM itu, mereka berjanji untuk membiarkan beliau (Dr Mahathir) memutuskan rancangan selanjutnya dan beliau tidak ingin keluar daripada PH. Namun, Muhyiddin bersama teman-temannya tetap teruskan rancangan mereka," kata seorang pemimpin PH.
Dr Mahathir mengumumkan keputusan beliau ini kepada para pemimpin PH - antara mereka ialah presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Anwar Ibrahim, setiausaha agung Parti Tindakan Demokratik, Encik Lim Guan Eng dan presiden Parti Amanah Negara, Encik Mohamad Sabu - dalam satu mesyuarat pada pagi Isnin (24 Feb).