HILANG rindu peminat apabila dapat bertemu dengan artis kegemaraan mereka secara berdepan mata, sambil beramah mesra selepas lebih dua tahun tidak dapat ke Singapura gara-gara pandemik.
Itulah yang dirasakan hadirin yang menghadiri acara Sinar Lebaran ’23 anjuran syarikat tempatan, MakMok Productions di Ballroom The Iris, City Plaza. Penyanyi popular Malaysia, Khai Bahar terutamanya, dilihat tidak putus-putus dikeremuni hadirin dan beliau sendiri kelihatan gembira bertemu peminat. Turut memeriahkan acara yang dihadiri kira-kira 160 orang ini ialah artis Megat Rahim, Salma (Mentor), Eman Zikri, dan penyanyi malar segar, Wann.
Menurut Pengasas MakMok Productions, Encik Zahid Ali, acara itu bak pembuka tirai bagi banyak lagi acara hiburan yang bakal menyusul demi memenuhi permintaan dan citarasa peminat setempat. Selain Encik Zahid, pasukan ini terdiri dari Cik Zainab Idris, Cik Marzyla Abdul Halim, Encik Andree Iskandar dan Cik Sasya Foxx. Acara dihoskan oleh Heyzee dari Heyzee Entertainment
“Acara Sinar Lebaran ’23 ini ternyata telah mengubat rindu hati peminat. Sambil menjamu selera, peminat dapat beramah mesra artis kegemaran mereka. Selain itu, acara seperti ini juga dapat memperkenal dan mempromosikan perniagaan penaja dan rakan-rakan niaga. Secara tidak langsung, ada aspek sokong menyokong antara satu dengan lain,” ujar Encik Zahid.
Antara hadirin yang ditemui Berita Harian (BH) adalah Cik Zubaidah Hamad, 43 tahun. Beliau, seorang pengurus operasi berkata: “Saya menganggap acara ini sebagai penutup Syawal yang menggembirakan.”
Seorang lagi, Encik Hamirul Asyraf, yang merupakan peminat tegar Khai Bahar berkata beliau gembira kerana penyanyi itu menghidangkan lagu-lagu permintaan peminat. Beliau turut mengagumi tiupan seruling Eman Zikri.
“Selain meminati Khai Bahar, saya juga meminati mainan seruling dari Eman Zikri dan mengenalinya melalui laman sosial, TikTok,” jelas Encik Hamirul.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg