Program peningkatan dan naik taraf bagi salah sebuah masjid bersejarah di negara ini, Masjid Jamae Chulia, atau juga dikenali sebagai ‘Periya Palli’ bermaksud Masjid Besar dalam Bahasa Tamil, sedang rancak dijalankan sejak Disember 2022.
Namun, dana bagi membiayai projek itu masih diperlukan.
Sejauh ini, 60 peratus kerja naik taraf telah siap dan bakinya dijangka selesai pada akhir tahun ini.
Selepas selesainya kerja peningkatan ini, masjid itu kelak mampu menampung sekitar 1,200 jemaah, selain boleh memuatkan 100 pelajar pada satu-satu masa.
Antara peningkatan yang dilakukan adalah pemasangan sistem hawa dingin di ruang solat serta menambah bilik darjah serta kemudahan mesra golongan kurang upaya dan warga senja.
Masjid yang terletak di South Bridge Road dan berdekatan Chinatown ini berusia 197 tahun.
Kerja peningkatan iru menelan belanja sehingga $3 juta. Jumlah terkumpul kini sudah mencapai $906,000.
Sepanjang tempoh ini, masjid yang diwartakan sebagai Monumen Negara pada 1974 itu akan terus beroperasi seperti biasa.
Masjid ini juga merupakan salah sebuah masjid yang memenuhi pembelajaran agama Islam khususnya bagi golongan India Muslim setempat, pekerja Islam dan pelancong di kawasan tengah bandar.
Pengerusi Masjid Jamae Chulia, Encik Rasheed Zaman Mohamed Rashad, berkata Masjid Jamae Chulia merupakan salah sebuah masjid tertua di Singapura dan menekankan peri penting usaha memastikan masjid itu terus berada dalam keadaan baik.
Di samping itu, beliau juga mengharapkan sokongan berterusan dapat diperolehi agar misi mencapai jumlah yang dikehendaki akan tercapai dengan segera.
“Kami faham saingan yang kami terima untuk mendapatkan dana bagi kerja peningkatan bagi Masjid Jamae Chulia ini begitu mencabar.
“Namun, kami akan melakukan yang terbaik dan semoga masjid bersejarah ini akan terus terpelihara. Kami merayu kepada masyarakat Islam setempat supaya terus menyokong dan menderma bagi membiaya kerja peningkatan ini. Dana naik taraf bagi Masjid Jamae Chulia masih jauh kekurangan daripada matlamat asal kami.
“Dengan kerja peningkatan ini, Masjid Jamae Chulia boleh menampung 100 pelajar pada satu-satu masa dan bakal menjadi lebih mesra warga tua dan golongan kurang upaya. Semua kerja peningkatan ini juga berjalan dengan lancar dan diharapkan dapat selesai mengikut jadual yang telah ditetapkan,” jelas Encik Rasheed Zaman.
Encik Rasheed Zaman turut memberitahu Berita Harian (BH), walaupun masjid itu sedang dinaik taraf, semua kegiatan dakwah berjalan seperti biasa.
Antara program ialah ceramah agama, kelas Al-Quran, bacaan Surah Yasin dan Al-Kahfi pada setiap malam Jumaat selain menganjurkan madrasah mingguan.
“Meskipun kami sedang menjalani kerja peningkatan ini, program dan kegiatan dakwah di Masjid Jamae Chulia ini tetap dilakukan seperti biasa, tiada pembatalan ataupun dihentikan.
“Justeru, kami amat mengharapkan sokongan dan derma ikhlas daripada orang ramai bagi dana peningkatan masjid bersejarah ini,” tambahnya.
Selain itu, Masjid Jamae Chulia juga turut menawarkan jualan amal – nasi beriani berharga $20 dan martabak $10 setiap satu, untuk menggalak orang ramai supaya menderma.
Cara menghulur sumbangan ikhlas anda kepada Masjid Jamae Chulia:
– Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 517-070041-002.
– Kirim cek anda kepada Masjid Jamae Chulia melalui pos ke alamat 218, South Bridge Road, Singapura 058767.
– Derma langsung ke pejabat masjid. Hubungi talian 6221-4165 atau WhatsApp ke talian 9297-4192. Sila buat janji temu sebelum datang ke masjid.
– Sila imbas kod QR yang tertera.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg