Penduduk dan masyarakat Islam di Yishun khususnya bakal memanfaatkan ruang lebih luas dan kemudahan lebih terkini apabila projek peningkatan Masjid Darul Makmur siap.
Masjid yang terletak di Yishun Avenue 2 dan dibangunkan sejak 36 tahun lalu, perlu menjalani kerja peningkatan berskala besar agar ia dapat memberi keselesaan kepada jemaah yang semakin bertambah.
Ini lebih utama lagi kerana banyak flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru yang telah siap dan juga sedang dibangunkan di kawasan estet kejiranan Yishun dan juga Canberra.
Apabila projek peningkatan selesai, ia akan menambah kapasiti ruang solat kepada lebih 4,600 jemaah berbanding 3,000 sebelum ini.
Kerja-kerja yang telah berjalan sejak enam bulan lalu, berlangsung mengikut jadual pelan peningkatan. Antaranya, ruang dewan solat utama, bilik-bilik darjah, auditorium dan kawasan serbaguna sedang disiapkan. Kerja-kerja memantak tiang (piling) untuk bangunan tambahan tiga tingkat juga hampir selesai dan akan memasuki fasa pembinaan seterusnya.
Antara peralatan yang perlu diperbaiki pihak masjid pula ialah peralatan sistem audio visual. Sistem ini menjadi salah satu alat yang penting di masjid, terutama sekali sewaktu solat, kuliah-kuliah agama dan kegiatan lain. Penggunaan alat audio seperti pembesar suara, mikrofon dan skrin monitor pada setiap hari sepanjang tahun telah menyebabkan beberapa kerosakan teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Menurut Pengurus Masjid Darul Makmur, Ustaz Ruhaizan Abdullah, jumlah dana yang terkumpul masih jauh daripada sasaran yang dikehendaki.
Masjid Darul Makmur berharap dapat mengumpul lagi $6 juta dalam masa 18 bulan akan datang.
“Buat masa ini, separuh daripada jumlah yang diperlukan telah dikumpul. Kami menerima sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat dan usaha pengumpulan dana buat masa ini sedang diteruskan agar jumlah dana yang diperlukan tercapai,” jelas Ustaz Ruhaizan.
Sementara itu, terdapat lebih 1,000 pelajar madrasah aLIVE yang mengikuti program madrasah mingguan. Ini adalah fokus utama sewaktu peningkatan, selain memastikan ruang masjid kondusif, kelas pengajian selesa serta ruang yang disediakan mudah diakses oleh warga emas.
Buat masa ini, Masjid Darul Makmur ditutup dan ruang kecil untuk solat harian telah pun disiapkan. Ruang ini akan dibuka di antara 10 pagi dengan 9 malam setiap hari untuk memberi ruang kepada pekerja dan pemandu untuk menunaikan solat. Sebuah pejabat kaunter derma juga beroperasi untuk membolehkan masyarakat hadir memberi sumbangan derma mereka.
Solat Jumaat yang dikendalikan di bekas tapak sekolah Northview di Yishun Ring Road sekarang ini, merupakan satu platform pihak masjid untuk mendekati masyarakat Yishun yang hadir ke sana sewaktu kerja peningkatan diteruskan.
“Ruang yang disewa di bekas tapak sekolah ini juga memerlukan dana untuk dibayar kos sewa, bil elektrik dan air. Jadi, perbelanjaan bulanan di tapak ini juga amat memerlukan sumbangan para dermawan, selain daripada dana peningkatan masjid,” ujar Ustaz Ruhaizan.
Setakat ini, ruang yang disewa di tapak sekolah amat terhad sehingga pihak masjid mengadakan dua kali sesi solat Jumaat setiap minggu agar dapat memuatkan lebih ramai jemaah.
Meskipun ditutup, Masjid Darul Makmur masih aktif dalam program mendampingi masyarakat.
Baru-baru ini, dengan kerjasama Jawatan Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Nee Soon GRC, acara Ceramah Keluarga telah diadakan di kawasan terbuka bersebelahan Stesen MRT Khatib. Ia dihadiri lebih 1,500 orang.
Sebagai sebuah masjid mesra penduduk berbilang kaum dan agama, masjid itu juga menyediakan kemudahan ‘water cooler’ bagi mereka yang bersenam di luar perkarangan masjid. ‘Water-cooler’ yang disediakan di pintu masuk kawasan Masjid Darul Makmur biasanya digunakan untuk diminum atau mengisi botol air oleh masyarakat umum. Ini adalah antara ciri mesra masyarakat yang disediakan oleh pihak masjid demi menabur ihsan kepada semua tidak kira bangsa dan agama.
“Kerja ubah elok sedang giat dijalankan dan pihak masjid memohon sokongan daripada masyarakat agar sama-sama membantu mencapai jumlah dana yang masih diperlukan,” tambah Ustaz Ruhaizan.
Justeru, Masjid Darul Makmur merayu sumbangan dana untuk kerja peningkatan yang telah bermula pada bulan April lalu.
SUMBANGAN WAKAF DAN DERMA DIALU-ALUKAN
Sumbangan wakaf dan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melalui cara berikut:
1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Ruang Rujukan: Wakaf).
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Ruang Rujukan: Wakaf).
3. Melalui cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke alamat 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.
4. Hadir di pejabat sementara Masjid Darul Makmur, 950, Yishun Avenue 2, Singapura 769099 (dari Isnin hingga Jumaat, 10 pagi hingga 4 petang).
5. Hubungi talian 6752-1402 pada waktu pejabat untuk pengambilan derma dari rumah dan pertanyaan lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg