Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid masih perlukan dana $6j lagi

Dec 17, 2023 | 5:30 AM
DEKATI WARGA ISLAM: Masjid Darul Makmur berusaha mendekati masyarakat di kejiranan Yishun dengan mengadakan sesi ceramah di kawasan perumahan walaupun masjid masih ditutup untuk kerja peningkatan.
DEKATI WARGA ISLAM: Masjid Darul Makmur berusaha mendekati masyarakat di kejiranan Yishun dengan mengadakan sesi ceramah di kawasan perumahan walaupun masjid masih ditutup untuk kerja peningkatan. - Foto MASJID DARUL MAKMUR

Penduduk dan masyarakat Islam di Yishun khususnya bakal memanfaatkan ruang yang lebih luas dan juga kemudahan yang lebih terkini apabila projek peningkatan selesai dijalankan.

Penduduk kawasan Yishun Street 20, yang biasanya memenuhi kejiranan dengan kegiatan senaman pada waktu pagi di taman bersebelahan masjid, akan juga beroleh manfaat daripada beberapa daya usaha yang bakal dilakukan sewaktu peningkatan.

Malah, setelah selesai bersenam, kelihatan juga ada yang menggunakan pendingin air (water-cooler) yang disediakan di pintu kawasan masuk Masjid Darul Makmur untuk diminum atau mengisi botol air. Ini adalah antara ciri mesra masyarakat yang disediakan oleh masjid demi menabur ihsan kepada semua.

Justeru, Masjid Darul Makmur merayu sumbangan dana bagi kerja peningkatan yang bermula April lalu. Pihak warga kerja masjid mengharapkan sokongan dan juga sumbangan derma daripada masyarakat agar semua proses berjalan lancar.

Menurut Pengurus Masjid Darul Makmur, Ustaz Ruhaizan Abdullah:

“Buat masa ini, setengah daripada jumlah yang diperlukan telah dikumpul. Kami menerima sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat dan usaha pengumpulan dana buat masa ini sedang diteruskan agar jumlah dana dapat dicapai.”

Masjid Darul Makmur yang sudah dibangunkan selama 36 tahun, memerlukan kerja peningkatan berskala besar agar ia dapat memberi keselesaan kepada jemaah yang semakin bertambah. Ini lebih utama lagi kerana banyak flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru yang telah siap dan juga sedang dibangunkan di kawasan kejiranan Yishun dan juga Canberra.

Menurut Ustaz Ruhaizan lagi, kerja-kerja yang telah berjalan selama enam bulan lalu, berlangsung mengikut jadual pelan peningkatan. Ruang dewan solat utama, bilik-bilik darjah, auditorium dan kawasan serbaguna sedang disiapkan. Kerja-kerja memantakkan tiang (piling) untuk bangunan tambahan tiga tingkat juga hampir selesai dan akan memasuki fasa pembinaan seterusnya.

Buat masa ini, masjid dapat menampung seramai 3,000 jemaah pada setiap waktu dan setelah projek peningkatan selesai ia akan menambah kapasiti ruang solat kepada lebih daripada 4,600 jemaah. Sementara itu, terdapat juga lebih 1,000 pelajar madrasah aLIVE yang mengikuti program madrasah mingguan. Ini adalah tumpuan utama sewaktu peningkatan, selain memastikan ruang masjid kondusif, kelas pengajian selesa dan ruang yang mudah diakses oleh warga emas.

Masjid Darul Makmur yang kini ditutup masih tetap aktif dalam program mendampingi masyarakat.

Baru-baru ini, dengan kerjasama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat di Nee Soon GRC, acara Ceramah Keluarga telah diadakan di kawasan terbuka bersebelahan Stesen MRT Khatib dan dihadiri lebih daripada 1,500 orang.

Solat Jumaat yang diadakan di bekas tapak sekolah Northview di Yishun Ring Road, merupakan satu platform pihak masjid untuk mendekati masyarakat Yishun yang hadir sewaktu kerja peningkatan diteruskan.

“Ruang yang disewa di bekas tapak sekolah ini juga memerlukan dana untuk dibayar kos sewa, bil elektrik dan air. Jadi, perbelanjaan bulanan di tapak ini juga amat memerlukan sumbangan para dermawan, selain daripada dana peningkatan masjid,” ujar Ustaz Ruhaizan.

Masjid Darul Makmur berharap dapat mengumpul lagi baki $6 juta dalam masa 18 bulan akan datang. Pihak masjid amat mengalu-alukan sumbangan wakaf dan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur yang boleh dilakukan melalui:

1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf).

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Rujukan: Wakaf).

3. Melalui cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke alamat 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.

4. Hadir di pejabat sementara Masjid Darul Makmur, 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099 (Isnin hingga Jumaat, 10 pagi hingga 4 petang).

5. Hubungi talian 6752-1402 pada waktu pejabat untuk pengambilan derma dari rumah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg