Aplikasi Mobile Guardian akan ditarik keluar daripada semua peranti pembelajaran peribadi pelajar, selepas pelanggaran keselamatan siber global menjejaskan 13,000 pelajar daripada 26 sekolah menengah di Singapura, lapor The Straits Times (ST).
Dalam satu kenyataan pada 5 Ogos, Kementerian Pendidikan (MOE) berkata aplikasi itu akan dilupuskan daripada semua iPad dan Chromebook sebagai langkah berjaga-jaga.
Usaha juga sedang dijalankan untuk memulihkan peranti ini dengan selamat bagi kegunaan biasa.
Mobile Guardian ialah aplikasi pengurusan peranti yang membantu ibu bapa mengurus penggunaan peranti anak mereka, mengehadkan masa skrin dan akses kepada tapak web dan aplikasi tertentu.
MOE berkata ia telah dimaklumkan oleh beberapa sekolah pada lewat malam 4 Ogos lalu sesetengah pelajar yang menggunakan iPad atau Chromebook tidak dapat mengakses aplikasi dan maklumat yang disimpan dalam peranti mereka.
Siasatan oleh Mobile Guardian mendapati terdapat insiden keselamatan siber yang melibatkan akses tanpa kebenaran kepada wadahnya yang menjejaskan pelanggan di seluruh dunia, termasuk di Singapura, kata MOE.
Pelajar yang terjejas adalah akibat peranti mereka dipadam dari jauh kerana pelanggaran itu, kata MOE, sambil menambah bahawa tiada bukti bahawa fail pelajar telah diakses.
“Kami faham pelajar sememangnya prihatin dan cemas dengan kejadian itu. MOE bekerjasama dengan sekolah untuk menyokong pelajar yang terjejas, termasuk menempatkan pasukan teknologi maklumat (IT) tambahan ke sekolah dan menyediakan sumber pembelajaran tambahan,” kata kementerian itu.
Menurut MOE, insiden keselamatan pada 4 Ogos itu adalah berasingan daripada isu teknikal yang dihadapi pelajar pada penghujung Julai 2024.
ST melaporkan sebelum ini lebih 1,000 pelajar daripada sekurang-kurangnya lima sekolah menengah terjejas akibat gangguan pada aplikasi Mobile Guardian.
Seawal 30 Julai, sesetengah pelajar melaporkan bahawa mereka tidak dapat menghidupkan atau mematikan iPad mereka, manakala yang lain tidak dapat menyambung ke Wi-Fi.”
Gangguan ini disebabkan oleh kesilapan manusia dalam konfigurasi oleh Mobile Guardian, kata MOE.
Dalam satu kenyataan di laman webnya pada 5 Ogos, Mobile Guardian berkata sejak insiden keselamatan itu, ia telah menghentikan sistem penyimpanan data untuk mengelakkan gangguan selanjutnya oleh pelaku.
Mobile Guardian berkata ia sedang menyiasat pelanggaran yang menjejaskan pengguna di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, Eropah dan Singapura.
“Ini menyebabkan peratusan kecil peranti dibatalkan pendaftaran daripada Mobile Guardian dan peranti mereka dipadam dari jauh,” kata Mobile Guardian.
Ini adalah insiden keselamatan siber kedua yang melibatkan Mobile Guardian dalam tempoh enam bulan.
Pada bulan April, portal pengurusan pengguna Mobile Guardian di ibu pejabatnya di Surrey, Britain, telah digodam, mengakibatkan kebocoran data yang melibatkan nama dan alamat e-mel ibu bapa dan guru lima sekolah rendah dan 122 sekolah menengah di Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg