Seramai 27 individu telah ditahan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 30 Julai dalam serbuan di 17 lokasi kerana disyaki terlibat dalam pekerjaan secara haram dan pemalsuan pas kerja, lapor The Straits Times.
Daripada 27 yang ditahan, 13 adalah pembantu rumah migran yang didakwa bekerja sebagai pekerja pembersihan untuk majikan lain tanpa pas kerja yang sah untuk pekerjaan itu, kata MOM pada 7 Ogos.
Mereka juga telah melanggar syarat pas kerja dengan tinggal di luar kediaman majikan masing-masing.
Baki 14 suspek ditahan kerana didakwa bersubahat dengan 13 pembantu rumah migran itu dengan memohon pas kerja untuk mereka tetapi melepaskan mereka mencari pekerjaan lain.
Perbuatan majikan tersebut sama seperti membuat pengisytiharan palsu dalam permohonan pas kerja.
Siasatan sedang dijalankan.
Di bawah undang-undang pekerjaan Singapura, semua majikan dan permohonan pas kerja mesti membuat pengisytiharan yang tepat, lengkap dan benar kepada Pengawal Pas Kerja.
Majikan hanya boleh mengambil pekerja migran dengan pas kerja yang sah.
Warga asing yang didapati bersalah melakukan pekerjaan tanpa pas kerja yang sah boleh didenda sehingga $20,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Jika sabit kesalahan, mereka mungkin dihalang daripada bekerja di Singapura.
Majikan yang didapati bersalah membuat pengisytiharan palsu dalam permohonan pas kerja pula boleh didenda sehingga $20,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Mereka juga akan digantung daripada keistimewaan memohon pas kerja dan pemohon pas kerja boleh didakwa dan dilarang bekerja di negara ini.
MOM telah memasukkan analisis data dan semakan pasca kelulusan ke dalam prosesnya untuk mengesan permohonan pas kerja yang mencurigakan dengan lebih baik, kata Encik Adrian Quek, pengarah bahagian pengurusan tenaga kerja asing.
Beliau menambah: “Pesalah telah dikenakan tindakan kerana sengaja memperlekeh kawalan pas kerja kami.
“Kami akan terus meningkatkan usaha penguatkuasaan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pesalah sedemikian untuk memastikan pematuhan undang-undang pekerjaan kami.”
Orang ramai boleh melaporkan aktiviti pekerjaan haram kepada MOM dengan menelefon 6438 5122 atau e-mel ke mom_fmmd@mom.gov.sg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg