Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

Naib pengetua Madrasah Aljunied dengan ijazah kedoktoran

Nov 24, 2023 | 05:30 AM



Bak sirih pulang ke gagang.

Sekitar 34 tahun lalu, Ustaz Dr Afif Pasuni, menjejakkan kakinya di Madrasah Aljunied sebagai seorang pelajar. Beliau menjadi pelajar Madrasah Aljunied semasa dalam darjah satu hingga darjah tiga dan kembali ke madrasah itu sebagai pelajar peringkat menengah sehingga peringkat prauniversiti.

Kini, beliau kembali lagi ke Madrasah Aljunied. Kali ini sebagai naib pengetua baru madrasah itu – jawatan yang disandang sejak Jun tahun ini.

Namun, menjadi seorang ustaz bukanlah sesuatu yang menjadi impiannya suatu ketika dahulu. Ini meskipun, ayahnya, Ustaz Pasuni Maulan, seorang ustaz yang disegani dan telah memberikan sumbangan besar kepada masyarakat Singapura.

“Secara jujur, saya tidak berniat menjadi seorang ustaz pada mulanya. Saya memandang tinggi pada profesion tersebut. Saya memandang tinggi terhadap mereka yang mempunyai tanggungjawab sebegitu dan saya tidak pasti saya boleh jadi seorang ustaz. Dalam fikiran saya, jangkaan terhadap seorang ustaz sangat tinggi,” jelas Ustaz Dr Afif.

“Bagi saya, saya tidak pasti itu tugas yang saya mahu terima. Tetapi akhirnya, saya di sini,” selorohnya.

Beliau yang mengakui lebih cenderung kepada bidang penyelidikan, sebelum ini bertugas sebagai Pengurus di unit Pembangunan Kurikulum Madrasah di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan terlibat dalam pelbagai aspek kerja penyelidikan, pembangunan dan semakan buku teks madrasah peringkat menengah.

Ustaz Dr Afif, yang pernah mengajar sambilan di Madrasah Aljunied serta pelbagai kelas agama di masjid, Pergas, dan institusi agama lain, berpendapat seorang ustaz perlu menerajui pelbagai tanggungjawab dari segi kerohanian, kemasyarakatan, profesional dan juga terhadap keluarga sendiri.

Beliau sendiri menyaksikan pengorbanan yang perlu dilakukan ayahnya demi memenuhi tanggungjawab itu termasuk dalam melakukan persediaan untuk kelas-kelas agama yang diajarnya.

“Kami ada ‘perpustakaan’ yang besar di rumah, kebanyakannya buku-buku agama. Anda boleh lihat pengorbanan masa dan usaha untuk memastikan yang ilmu (beliau) adalah terkini (up-to-date). Ini membantu membentuk pemikiran saya tentang bagaimana menjadi seorang pemimpin masyarakat,” cerita anak kelima daripada lapan beradik itu.


Menurut beliau lagi, secara amnya, pelajar madrasah diharapkan berjaya menjadi pemimpin.

“Walaupun tak semestinya pemimpin yang memimpin pertubuhan tertentu tetapi kami mempelajari pelajaran agama. Jadi, ada jangkaan untuk kami jadi pemimpin moral, pemimpin agama, atau sekurang-kurangnya untuk menjadi seorang pemimpin dalam ritual kita seperti solat. Saya fikir ia meningkatkan keupayaan pelajar madrasah melangkah menjadi pemimpin dalam bidang lain juga,” tambahnya.

Daripada pengalamannya sebagai alumni Madrasah Aljunied, Ustaz Dr Afif menyedari bahawa sistem pendidikan madrasah menyediakan pendidikan holistik. Ia bukan sekadar memberi ilmu agama malah membentuk nilai-nilai kepimpinan seseorang pelajar, selain memberi pengetahuan dan memupuk nilai murni daripada mata pelajaran sekular yang lain.

Walaupun pengajian agama adalah fokus bagi seseorang pelajar madrasah, suka atau tidak, untuk memahami sesuatu keadaan, ia perlu dikaitkan kepada konteks sekitaran yang lebih luas, contohnya, apa yang berlaku di dunia, kata bapa tiga anak itu.

Sebagai salah seorang pemimpin di Madrasah Aljunied, Ustaz Dr Afif mengakui tanggungjawab yang baru disandang sebagai naib pengetua, sukar baginya. Ini kerana ia tanggungjawab dan perubahan yang besar jika dibandingkan dengan persekitaran kerja dan skop yang biasa dilakukan sebelum ini.

Namun, beliau mendapat sokongan daripada pengetuanya, Cikgu Herman Cher Ma’in, yang berpengalaman luas dalam sektor sekolah dan madrasah. Beliau turut bekerjasama rapat dengan pemimpin berpengalaman lain di Madrasah Aljunied.

Sebagai salah seorang pemimpin madrasah yang bertanggungjawab membentuk asatizah masa hadapan, Ustaz Dr Afif yakin pendidikan agama akan sentiasa ada nilainya dan hanya kerana pendidikan agama tidak boleh dinilai dalam bentuk dolar dan sen, ini tidak bermakna ia mempunyai nilai yang lebih rendah.

Beliau percaya menjadi tanggungjawab madrasah untuk menyediakan asas yang diperlukan supaya pelajar madrasah dapat meneruskan pendidikan agama pada peringkat yang lebih tinggi dan meraih apa yang terbaik daripada kedua-dua ilmu duniawi dan ukhrawi.

Walaupun menjadi harapan agar semua pelajar lepasan madrasah melanjutkan pelajaran ke universiti dalam bidang pengajian agama dan menjadi asatizah atau ulama masa depan, Ustaz Dr Afif akur bahawa itu bukanlah realitinya.

Katanya, bagi mereka yang bekerja di sektor bukan agama, sumbangan mereka jelas masih diperlukan dan pelajar madrasah juga boleh menyumbang kepada sektor agama secara langsung atau tidak. Hak dan pilihan akhir terletak di tangan pelajar madrasah itu sendiri.

“Pelajar lepasan madrasah hari ini mempunyai pilihan yang sangat luas. Kami sangat ingin pelajar kami kembali dan berkhidmat kepada masyarakat melalui sektor agama. Tetapi kita perlu memastikan bahawa kita menyediakan insentif yang adil untuk mereka kekal dalam sektor agama, supaya mereka boleh mendedikasikan usaha dan tahun-tahun paling produktif dalam hidup mereka kepada sektor agama,” katanya.

Latar belakang Naib Pengetua


Nama: Dr Afif Pasuni


Umur: 41 tahun


Pendidikan:


1. Ijazah Kedoktoran Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Warwick.
2. Sarjana Perhubungan Antarabangsa Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang. 
3. Universiti Al-Azhar (Sarjana Muda Syariah Islamiah).
4. Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Pekerjaan: Naib Pengetua, Madrasah Aljunied Al-Islamiah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >