Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

Negara kecil perlu bersatu agar suara didengari

Jun 22, 2023 | 01:29 PM





Negara kecil seperti Singapura dan Qatar perlu sedar akan pentingnya suara mereka didengari di peringkat antarabangsa, lebih-lebih lagi dengan ketegangan dan cabaran geopolitik yang dihadapi dunia hari ini, kata Presiden Halimah Yacob.

Melihat bagaimana Qatar meluaskan bidang diplomasi global sekarang, adalah perlu Singapura melakukan perkara serupa dan ini tidak harus dalam bidang ekonomi sahaja, selain melibatkan diri dalam forum antarabangsa, ujar beliau.

“Ini kerana asasnya ialah diplomasi adalah penting bagi kita agar kita dapat melindungi kepentingan nasional kita,” kata Presiden Halimah semasa mengulas mengenai lawatan negaranya selama empat hari ke Doha, Qatar, ketika bertemu media pada Khamis.

Ia adalah lawatan negara terakhir Puan Halimah sebagai Presiden. Beliau telah mengumumkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya presiden akan datang.

Presiden Halimah menegaskan adalah penting negara kecil menyokong satu sama lain dan bekerjasama selain mematuhi dan memperjuangkan sistem pelbagai hala, sistem perdagangan global dan sistem perdagangan berasaskan peraturan.

Ini kerana menerusi sistem sedemikian negara kecil dapat mengambil bahagian dan meraih manfaat daripada perdagangan dan pelaburan, ujar beliau.

Presiden Halimah turut menyentuh mengenai jawatankuasa kerjasama peringkat tinggi yang dibincangkannya bersama Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, yang bertujuan memperkukuh dan mempertingkat lagi kerjasama antara Singapura dan Qatar.

Menurut satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA), dua pemimpin itu akur akan kepentingan Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi Singapura-Qatar (HLJC) menjadi platform utama bagi kerjasama dua hala dan mengalu-alukan persidangan HLJC  kelapan yang dijadualkan diadakan pada Ogos. 

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed, akan melakukan lawatan rasmi ke Singapura sebagai sebahagian daripada persidangan itu.

Dalam pada itu, Puan Halimah turut menyebut betapa Qatar bangkit daripada pergolakan yang menimpa negara itu pada 2017 apabila empat negara Arab memutuskan hubungan diplomatik dengan Doha hingga menjejas keselamatan makanan dan tenaganya.

Bekalan tenusu di Qatar, yang sebahagian besarnya diimport sebelum ini, berkurangan akibat kejadian itu dan pengalaman ini menunjukkan betapa pentingnya mempelbagaikan sumber, kata Puan Halimah.

“Justeru adalah penting Singapura memastikan kita dapat mencapai visi ‘30 jelang 30’, atau ‘30 by 30’, di mana kita menghasilkan 30 peratus daripada keperluan makanan dalam negara menjelang 2030,” katanya.

Lantaran itu, beliau menyambut baik lima perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani semasa lawatannya ke Qatar dalam bidang seperti pembangunan keupayaan, gas asli cecair (LNG) dan teknologi karbon rendah, keselamatan makanan dan siber serta inovasi.

Mengulas tentang lawatannya ke negara Timur Tengah yang lain sebelum ini,  Puan Halimah berkata pembelajaran yang diraih dalam pertemuan antara pemimpin negara tidak hanya sehala.

Menurut beliau, negara Timur Tengah sering kagum akan sistem pentadbiran dan kepimpinan Singapura yang baik, berkesan dan membuahkan hasil yang baik untuk rakyat.

Mereka juga kagum akan perpaduan sosial yang ditonjolkan meski Singapura mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama.

Malah dalam perbualannya bersama lebih 280 warga Singapura yang tinggal di Qatar, kebanyakan mereka mengongsi bagaimana jenama Singapura memberikan keyakinan kepada syarikat-syarikat di Qatar.

“Apabila anda berkata anda dari Singapura, secara automatik pandangan mereka terhadap kita ialah warga kita berkemahiran tinggi, berdisiplin dan sanggup bekerja keras. Ini yang banyak membantu syarikat kita di sini,” kata Puan Halimah. SHAHIDA SARHID




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >