Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NUS perkenal waktu lapang petang Rabu, asrama baru mulai Ogos

Jun 28, 2024 | 5:04 PM
Gambaran artis mengenai asrama pelajar bertema sukan baru atau ‘Valor House’, di Universiti Nasional Singapura, yang dijangka dibuka di Kampus Kent Ridge pada 2025.
Gambaran artis mengenai asrama pelajar bertema sukan baru atau ‘Valor House’, di Universiti Nasional Singapura, yang dijangka dibuka di Kampus Kent Ridge pada 2025. - Foto NUS

Sebahagian besar penuntut Universiti Nasional Singapura (NUS) akan dapat menikmati masa petang Rabu tanpa perlu menghadiri kelas mula Ogos 2024, sebagai sebahagian daripada daya usaha baru untuk menyediakan pengalaman lebih lengkap untuk mereka.

Langkah ini adalah sebahagian daripada pendekatan baru NUSOne, yang bertujuan memudahkan peralihan ke alam universiti untuk mahasiwa baru dan menggalakkan perkembangan serta pembangunan peribadi yang lebih terarah mulai pengajian pada tahun pertama, lapor The Straits Times.

NUS menerima lebih 7,400 pelajar baru pada 2023.

Kebanyakan mahasiswa sarjana muda boleh menjangkakan masa dari 3 petang hingga 6 petang pada Rabu, dikhususkan untuk mereka mengambil bahagian dalam kegiatan luar darjah dan aktiviti lain, kata NUS pada 28 Jun.

Rancangan untuk membolehkan lebih ramai pelajar mengakses slot masa ini akan dibangunkan sedang NUSOne dilancarkan secara berperingkat.

Terdapat juga asrama baru bertemakan sukan, Valor House (Asrama Keberanian), yang akan siap pada Ogos 2025. Ia akan menjadi ruang untuk atlet dan peminat sukan yang punya minat serupa.

Dibuka di kampus Kent Ridge NUS, asrama itu akan dapat menampung sehingga 600 orang. Daripada ruang itu, 50 peratus akan diberikan kepada atlet dan individu yang menunjukkan kecemerlangan sukan dan selebihnya kepada pelajar lain.

“Dengan menekankan sukan masyarakat, Valor House berusaha membina masyarakat yang cergas dan melibatkan semua, yang dijalin melalui pengalaman olahraga yang dikongsi sama,” kata NUS.

Dengan pembukaan Valor House, jumlah tempat asrama di kampus akan meningkat kepada 12,500.

Ia adalah “langkah besar ke arah memenuhi aspirasi kami untuk memberi peluang kepada setiap mahasiswa merasai pengalaman hidup dan pembelajaran di kampus selama setahun, terutamanya semasa tahun pertama”, tambah universiti itu.

Pada masa ini, hampir dua pertiga pelajar tahun pertama memohon untuk tinggal di kampus dan majoriti diberikan bilik.

NUS mempunyai populasi sarjana muda sekitar 30,300 orang.

Profesor Aaron Thean, provos NUS dan timbalan presiden hal ehwal akademik, berkata NUSOne direka untuk memberi penekanan yang lebih besar kepada kehidupan pelajar dan aktiviti kokurikulum, menawarkan pelajar bukan sahaja kecemerlangan akademik tetapi juga pendidikan menyeluruh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg