Bagi mereka yang ingin pengalaman praktikal dalam bidang perubatan, menjadi sukarelawan bersama Palang Merah Singapura (SRC) mungkin merupakan satu pilihan yang baik.
Itulah yang dilakukan Encik Hakim Lu Fanghan, mahasiswa di Pusat Alice Lee untuk Pengajian Kejururawatan di Universiti Nasional Singapura (NUS), yang mula menjadi sukarelawan SRC pada 2018.
“Saya ingin kembangkan kemahiran yang saya pelajari di sekolah. Apabila saya lihat pos pertolongan cemas di Taman East Coast, saya ingin menyertainya untuk lebih mempelajari tentang apa yang mereka lakukan dan untuk membantu orang lain,” kata Encik Hakim.
Dengan pengalaman dan ilmu yang beliau peroleh selama enam tahun sebagai sukarelawan, kini Encik Hakim merupakan ketua pasukan sukarelawan, membimbing pasukan pertolongan cemas.
Selain menjadi sebahagian daripada First Aider on Wheels (FAoW) dan Pasukan Respons Kecemasan Awam sebagai sukarelawan pertolongan cemas, beliau juga menyertai Program Pemantauan Rumah dan Penjagaan Orang Tua (HoME+).
“Ia merupakan satu peluang baik untuk saya mengamalkan pertolongan cemas dalam keadaan yang berbeza dan saya mengambil peluang ini untuk mendedahkan diri kepada pekerjaan ini,” jelas beliau.
Sepanjang perjalanan sebagai sukarelawan SRC, beliau mula sedar kepentingan peranannya sebagai seorang penggerak balas atau ‘responder’ masyarakat, kerana kemungkinan besar merekalah yang pertama tiba di lokasi kecemasan.
Beliau berkongsi pengalamannya membantu seorang pak cik berusia yang berasa agak kurang sihat, mengalami sakit dada, berpeluh dan sesak nafas. Namun, pak cik itu tetap enggan dibawa ke hospital.
“Kadangkala warga tua agak keberatan untuk ke hospital, jadi kami perlu meyakinkan bahawa beliau benar-benar sakit dan menurut penilaian kami, beliau seharusnya dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan yang kami tidak dapat kendalikan,” kongsi Encik Hakim.
Akhirnya, beliau berjaya meyakinkan pak cik itu untuk ke hospital.
Encik Hakim turut berkongsi jika pihaknya gagal meyakinkan individu yang enggan ke hospital, mereka akan memberitahu anggota keluarga tentang keadaannya.
Warga emas ujar beliau, kadangka bukan sahaja mengalami masalah fizikal, malah masalah psikologi dan emosi juga.
Beliau juga faham cabaran yang mungkin dihadapi relawan baru bagi program HoMe+ ini.
“Cabaran adalah pada mulanya, anda perlu bertindak secara berseorangan dan akan rasa janggal kerana anda ke tempat peribadi mereka,” jelas Encik Hakim.
“Namun, selepas melaluinya beberapa kali, anda akan rasa lebih yakin dan selesa,” tambah beliau.
Beliau turut berkongsi ramai yang mungkin ragu untuk menjadi sukarelawan di SRC kerana tidak tahu jika ia sesuai buat mereka.
“Saya selalu beritahu mereka jangan risau, sentiasa ada orang yang akan membimbing anda,” katanya.
Bagi Encik Hakim, prinsip SRC yang terdekat di hatinya adalah prinsip kemanusiaan.
“Mengapa kami jalankan program berbeza ini adalah dengan panduan prinsip kemanusiaan. Tujuannya adalah untuk bantu mereka yang memerlukan dan saya dapat melihat prinsip ini dalam kesemua sukarelawan kami,” kata beliau dengan bangga.
Setiap kali beliau bertanya mengapa seseorang itu ingin menjadi sukarelawan di SRC, sebab yang diberikan adalah mereka ingin membantu golongan memerlukan.
“Saya rasa apa yang menyatukan semua sukarelawan adalah kami semua mempunyai matlamat yang sama iaitu membantu manusia dan menyokong satu sama lain,” kata Encik Hakim.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg