Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Panel penasihat saran keldai wang kes tipu dijel minimum 6 bulan

Aug 21, 2024 | 4:18 PM
Panel Penasihat Hukuman mengesyorkan agar hukuman penjara yang ketara harus dilaksanakan untuk memberi isyarat pencegahan yang jelas dengan meningkatnya kes melibatkan keldai wang di sini.
Panel Penasihat Hukuman mengesyorkan agar hukuman penjara yang ketara harus dilaksanakan untuk memberi isyarat pencegahan yang jelas dengan meningkatnya kes melibatkan keldai wang di sini. - Foto ST

Mereka yang membenarkan penipu mengawal akaun bank atau Singpass mereka harus dipenjarakan sekurang-kurangnya enam bulan jika sabit kesalahan, berkuat kuasa serta-merta, lapor The Straits Times.

Dalam kenyataan pada 21 Ogos, Panel Penasihat Hukuman mengesyorkan agar hukuman penjara yang ketara harus dilaksanakan untuk memberi isyarat pencegahan yang jelas.

Ini bermakna mulai 21 Ogos, sesiapa yang disabitkan dengan kesalahan sedemikian boleh dipenjarakan sekurang-kurangnya enam bulan.

Panel itu menambah bahawa hukuman penjara perlu dikenakan termasuk pesalah di bawah 21 tahun, kecuali mereka yang dihadapkan di Mahkamah Belia.

Pada masa ini, mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda, atau dipenjarakan, atau kedua-duanya.

Panel itu berkata penipuan adalah kebimbangan utama dan berkembang pesat – meningkat lebih daripada tujuh kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu, dengan jumlah kerugian meningkat empat kali ganda.

Pada 2023, terdapat 46,563 kes penipuan, mengakibatkan jumlah kerugian sebanyak $651.8 juta.

Panel itu turut mengusulkan hukuman lebih berat bagi kes melibatkan warga emas, atau mereka yang tidak dapat melindungi diri mereka kerana kelemahan fizikal atau mental.

Ia menambah bahawa hukuman permulaan bagi mereka yang terlibat dalam kes sedemikian perlu dinaikkan sekurang-kurangnya 25 peratus.

Panel itu terdiri daripada anggota badan kehakiman, kementerian Undang-undang dan Ehwal Dalam Negeri, polis, Pejabat Peguam Negara dan Badan Peguam.

Garis panduan panel itu bertujuan menjadi petunjuk bagi hakim dalam menjatuhkan hukuman, serta membimbing pihak pendakwaan dan pembelaan dalam penghujahan hukuman mereka.

Sejak 8 Februari, adalah menjadi satu kesalahan bagi keldai wang untuk menjalankan urus niaga jika mereka tahu atau mempunyai idea bahawa apa yang mereka lakukan melibatkan unsur jenayah.

Mereka yang menjual akaun Singpass juga boleh didakwa.

Kesalahan baru itu menyasarkan komponen kritikal dalam operasi sindiket penipuan – individu yang membenarkan orang lain menggunakan akaun mereka untuk melakukan penipuan dan menikmati hasil penipuan, kata panel itu.

Di bawah garis panduan baru itu, hukuman permulaan penjara selama enam bulan disyorkan bagi mereka yang menyerahkan kawalan akaun bank tanpa mengambil langkah munasabah untuk memeriksa sebab akaun mereka digunakan; menyerahkan akaun bank mereka kepada orang lain secara cuai; dan mendedahkan kelayakan Singpass mereka.

Penjara sekurang-kurangnya 12 bulan disaran bagi mereka yang tergesa-gesa menyerahkan kawalan akaun bank, mengongsi butiran Singpass orang lain.

Bagi menyerahkan kawalan ke atas akaun bank kerana percaya ia boleh membantu orang yang melakukan jenayah, panel itu mengusulkan individu terbabit harus dipenjara 18 bulan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg