Beberapa siri pertengkaran antara sukarelawan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan Parti Kemajuan Singapura (PSP) di Bukit Gombak pada 4 Januari telah diketahui umum di media sosial.
Kedua-dua pihak mendakwa berlaku gangguan dan telah memberi penjelasan berbeza tentang apa yang berlaku.
Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan) yang juga Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Cik Low Yen Ling, dalam catatan Facebook pada 8 Januari, mendakwa sukarelawan PSP telah memulakan pertengkaran semasa lawatan menemui penduduk itu.
Seorang lelaki juga telah menakut-nakutkan seorang sukarelawan PAP dan menampar mukanya, kata beliau sambil menambah bahawa lelaki itu juga menyindir seorang lagi sukarelawan PAP.
Namun dakwaan itu berbeza daripada yang diceritakan anggota PSP dan bekas calon, Encik S Nallakaruppan, dalam Facebook pada 4 Januari.
Beliau mendakwa sukarelawan PAP telah mula mengekori pasukan Chua Chu Kang partinya di Goodview Gardens di Bukit Gombak, yang terletak dalam kawasan undi Cik Low.
Pada 8 Januari, Pengerusi PSP, Encik Tan Cheng Bock, turut menyiarkan video yang didakwa diambil oleh sukarelawan PSP dalam sebuah lif.
Dalam video itu, seorang lelaki sedang merakam sukarelawan PSP dari jarak dekat dengan telefon bimbit. Tidak jelas sama ada lelaki berkenaan adalah sukarelawan PAP.
Seorang sukarelawan PSP telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Akhbar The Straits Times telah menghubungi polis untuk mendapatkan komen.
Cik Low berkata pasukan PAP telah mempertimbangkan untuk membuat laporan polis tetapi membatalkannya kemudian.
Menyingkap kejadian itu, Cik Low berkata seorang sukarelawan PAP sedang keluar dari lif apabila beliau disekat oleh anggota PSP, salah seorang daripada mereka menakut-nakutkan dan menghinanya, dan juga menampar mukanya dua kali.
Seorang lagi sukarelawan PAP telah diejek oleh sukarelawan lelaki PSP yang sama, dan merakam kejadian itu di telefonnya.
Cik Low berkata:
“Anggota PSP menjerit ke arah mereka dan mengejek mereka serta mengambil gambar mereka.
“Foto-foto ini telah disiarkan dalam talian oleh anggota PSP. Beberapa sukarelawan PAP wanita yang telah diambil gambar mereka telah menjadi mangsa perbuatan mendedahkan identiti mereka.”
Encik Nallakruppan, yang bertanding di GRC Nee Soon pada pilihan raya umum lalu, mendakwa tindakan sedemikian adalah taktik PAP untuk mengganggu anggota pembangkang.
Cik Low berkata: “Kami menantikan siasatan penuh polis agar kebenaran diketahui umum.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg