Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parlimen tolak usul PSP semak proses tentukan sempadan pilihan raya

Aug 7, 2024 | 9:08 PM
Pilihan Raya Umum Singapura seterusnya mesti diadakan selewat-lewatnya pada November 2025. 
Pilihan Raya Umum Singapura seterusnya mesti diadakan selewat-lewatnya pada November 2025.  - Foto fail

Proses menentukan sempadan pilihan raya kendalian Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) menjelang setiap Pilihan Raya Umum (GE) telah berkhidmat dengan baik untuk Singapura, dengan warga Singapura dapat mengundi secara bebas memilih Anggota Parlimen (AP) yang mampu menjalankan tugas mereka sebaiknya, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.

Menjelaskan mengapa Parti Tindakan Rakyat (PAP) menolak usul yang dibentangkan Parti Kemajuan Singapura (PSP) untuk menyemak proses itu, Encik Chan, juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, berkata sistem tersebut akan terus berkembang, tetapi tidak akan diubah untuk memudahkan atau memberi kelebihan kepada mana-mana parti politik.

Usul itu dikemukakan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Cik Hazel Poa, yang menggesa pemerintah mengkaji semula proses bagi menentukan sempadan pilihan raya supaya dapat meningkatkan ketelusan dan keadilan proses semakan sempadan pilihan raya untuk semua parti politik.

Parlimen pada 7 Ogos menolak usul tersebut selepas pembahagian undi dilaksanakan atas permintaan Cik Poa.

Semua 86 AP yang hadir di Parlimen mengundi. Daripada jumlah itu, 76 AP menolak usul itu; sementara 10 AP yang mewakili parti pembangkang – lapan AP daripada Parti Pekerja (WP) dan dua NCMP daripada PSP – menyokongnya.

Cik Poa, ketika mengemukakan usul itu, meminta supaya pembentukan EBRC diumumkan secara terbuka dengan segera dan menerbitkan jumlah pengundi semasa dalam setiap kawasan pilihan raya berdasarkan sempadan GE lalu pada 2020.

Beliau juga mahu ERBC menjelaskan secara terbuka dan secukupnya semua perubahan yang dibuat.

GE seterusnya mesti diadakan selewat-lewatnya November 2025.

Dalam responnya, Encik Chan, yang berucap bagi pihak Perdana Menteri Encik Lawrence Wong, berkata bahawa EBRC masih belum bersidang.

Beliau berkata: “Jabatan Pilihan Raya (ELD) telah menjawab pertanyaan Parlimen dan media sama ada Perdana Menteri telah mengadakan EBRC untuk pilihan raya umum akan datang.

“Ia akan diteruskan dengan amalan ini, dan akan memaklumkan kepada orang ramai apabila EBRC diadakan.”

Beliau maklum bahawa beberapa pilihan raya umum yang lalu telah diadakan antara satu dengan tiga bulan selepas laporan EBRC dikeluarkan.

“Kami akan berusaha menyediakan masa yang mencukupi antara pengeluaran laporan EBRC dengan pembubaran Parlimen supaya semua parti politik dan calon boleh membuat persiapan yang diperlukan,” tambahnya.

AP WP, Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang), dan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (GRC Aljunied), juga berucap menyokong usul itu semasa perbahasan selama hampir dua jam.

Encik Chan turut menyentuh tentang isu manipulasi penentuan sempadan pilihan raya (atau gerrymandering), sambil berkata komposisi dan proses EBRC terlindung daripada pengaruh politik parti kerana jawatankuasa itu tiada akses kepada maklumat pengundian, tidak berunding dengan mana-mana parti politik dan merangkumi penjawat awam kanan yang tiada kesetiaan pada mana-mana parti.

Sejak 1958, panduan perdana menteri kepada EBRC untuk menyemak sempadan pilihan raya telah diterbitkan secara terbuka. Penyempadanan yang disyorkan itu juga dibentangkan kepada Parlimen sebagai Kertas Putih sejak 1967.

Encik Chan berkata EBRC perlu mengimbangi antara populasi dan saiz geografi setiap kawasan undi ketika menentukan sempadan pilihan raya.

Justeru, jawatankuasa itu menyemak sempadan secara holistik, dengan mengambil kira peralihan penduduk dan pembangunan perumahan, sambil memastikan bahawa sempadan yang digariskan adalah masuk akal.

“Sebuah kawasan pilihan raya mestilah kawasan yang boleh diwakili dan berkhidmat dengan berkesan oleh AP-nya. Pada masa yang sama, kami berusaha untuk memastikan kesinambungan, dan mengurangkan perubahan yang boleh mengganggu komuniti sedia ada.

“Tugas EBRC dipacu oleh data; ia tertumpu pada kepentingan pengundi, dan bukannya kepentingan parti atau calon politik,” jelas Encik Chan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg