Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembukaan semula 7 NPP ditangguh dek gangguan kerja ubah suai

Feb 23, 2024 | 5:23 PM
Pondok Polis Kejiranan (NPP) Telok Blangah merupakan antara yang ditangguhkan pembukaan semula.
Pondok Polis Kejiranan (NPP) Telok Blangah merupakan antara yang ditangguhkan pembukaan semula. - Foto ST

Pembukaan semula tujuh Pondok Polis Kejiranan (NPP) yang direka bentuk semula akan ditangguhkan berikutan gangguan pada kerja pengubahsuaian yang menjejaskan peralatan utama.

Menurut polis dalam catatan Facebook pada 23 Februari, pondok polis yang terjejas termasuk NPP Telok Blangah, Commonwealth, Kim Keat, Kebun Bahru, Kampong Kembangan dan Tampines North.

Pembukaan semula enam NPP ini ditangguhkan selama dua bulan, lapor akhbar The Straits Times.

NPP ini, yang telah ditutup untuk kerja-kerja ubah suai pada April 2023, akan dibuka semula pada Mei 2024 dan bukannya Mac.

Pembukaan semula NPP ketujuh – NPP Hougang – akan ditangguhkan sehingga suku ketiga 2025.

Penangguhan itu berpunca daripada gangguan kepada kerja-kerja yang menjejaskan peralatan utama yang menyediakan perkhidmatan automatik, seperti kiosk bantu diri untuk melaporkan jenayah dan peti layan diri untuk memulangkan barang-barang yang ditemui, tambah polis.

Selain itu, NPP Hougang juga terjejas oleh isu berkaitan kuasa elektrik.

Pada 2023, polis juga menangguhkan pembukaan semula NPP Clementi, Dover, Thomson, Aljunied, Paya Lebar, Bedok dan Changkat atas sebab yang sama.

Mereka yang memerlukan perkhidmatan polis semasa tempoh pengubahsuaian dinasihatkan supaya pergi ke NPP berhampiran atau ke Pusat Polis Kejiranan (NPC) terdekat.

Untuk kes bukan kecemasan, penduduk juga boleh menggunakan perkhidmatan Pusat Polis dalam talian di laman police.gov.sg/e-services.

Penduduk yang memerlukan bantuan segera polis boleh menghubungi 999.

Polis sebelum ini menyatakan bahawa mulai 26 Februari, enam NPP di River Valley, Bukit Panjang North, Tiong Bahru, MacPherson, Mountbatten dan Hong Kah South akan ditutup terus.

Menurut satu catatan di Facebook pada 19 Februari, Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata bahawa penutupan itu disebabkan jarak antara NPP berkenaan dengan NPP dan NPC yang lain.

“Untuk pastikan titik sentuh perkhidmatan polis tersebar luas dengan lebih baik di seluruh Singapura, enam NPP akan ditutup terus mulai 26 Februari kerana berdekatan dengan titik sentuh perkhidmatan sedia ada.

“Selain itu, lapan NPP baru akan dibina menjelang 2025. Butiran lanjut mengenai NPP baru dan lokasi masing-masing akan dikongsi dalam masa terdekat,” kata SPF.

“Untuk pastikan titik sentuh perkhidmatan polis tersebar luas dengan lebih baik di seluruh Singapura, enam NPP akan ditutup terus mulai 26 Februari kerana berdekatan dengan titik sentuh perkhidmatan sedia ada. Selain itu, lapan NPP baru akan dibina menjelang 2025. Butiran lanjut mengenai NPP baru dan lokasi masing-masing akan dikongsi dalam masa terdekat.”
Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam catatannya di Facebook.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg