Seorang penyelam komersial Singapura berusia 59 tahun meninggal dunia di hospital pada 17 Februari selepas beliau gagal timbul di permukaan ketika membersihkan badan sebuah kapal di Marina South Pier.
Beliau adalah penyelam bebas yang diupah oleh syarikat perkhidmatan maritim, Alphard Offshore, kata jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 22 Februari sebagai menjawab pertanyaan The Straits Times.
Jurucakap itu berkata: “(Penyelam) kemudian ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh penyelam penyelamat dan dibawa keluar daripada air.
“Beliau dibawa ke Hospital Besar Singapura, dan disahkan meninggal dunia.”
MOM sedang menyiasat kejadian itu dan telah mengarahkan Alphard Offshore supaya menghentikan semua aktiviti menyelam komersial.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan mahukan bantuan di 31 Marina Coastal Drive jam 1.40 tengah hari pada 17 Februari.
Polis berkata berdasarkan siasatan awal, tiada sebarang perbuatan khianat disyaki berlaku.
Dalam kenyataannya, MOM berkata pelan menyelam yang betul mesti diwujudkan dan dimaklumkan kepada semua anggota pasukan menyelam sebelum memulakan operasi selam komersial.
Jurucakapnya menambah: “Rancangan menyelam seperti itu harus merangkumi tugas yang perlu dilakukan, peralatan menyelam komersial yang sesuai digunakan oleh penyelam, peranan dan tanggungjawab ahli pasukan menyelam dan prosedur persediaan kecemasan.”
Pada 5 Mei 2018, penyelam bebas Jake Seet, 33 tahun, lemas ketika beliau membersihkan buritan sebuah kapal kargo di perairan barat daya berhampiran Sentosa.
Siasatan mendapati bahawa kord komunikasi Seet telah terjerat dengan dasar laut, menghalangnya daripada naik ke permukaan air.
Seorang penguasa menyelam dijatuhi hukuman penjara dua tahun pada Mei 2021 kerana gagal menyedari rayuan Seet yang meminta bantuan melalui interkom.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg