Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kakitangan bantu mangsa banjir nyaris lemas, kenderaan dihanyut arus deras

Jan 11, 2024 | 3:11 PM
BERTARUNG NYAWA: Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia membantu menyelamatkan empat kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli yang nyaris lemas dan menarik kenderaan pacuan empat roda yang dihanyutkan arus deras banjir di Kampung Orang Asli Sedohok, Kahang Kluang, Johor, pada 10 Januari.
BERTARUNG NYAWA: Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia membantu menyelamatkan empat kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli yang nyaris lemas dan menarik kenderaan pacuan empat roda yang dihanyutkan arus deras banjir di Kampung Orang Asli Sedohok, Kahang Kluang, Johor, pada 10 Januari. - Foto ANGKATAN PERTAHANAN AWAM MALAYSIA

KLUANG (Johor): Ternyata usaha membantu mangsa banjir itu bukan mudah dan pelbagai pihak khususnya anggota keselamatan dan agensi bantuan kerajaan bertarung nyawa untuk melindungi keselamatan dan menjamin kesejahteraan mangsa terjejas.

Dalam kejadian terkini pada 10 Januari, empat kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (Jakoa) nyaris lemas selepas kenderaan pacuan empat roda dihanyutkan arus banjir.

Menurut Berita Harian Malaysia (BHM), kejadian dikatakan berlaku selepas pasukan berkenaan selesai misi menghantar bekalan makanan di Kampung Orang Asli Sedohok, Kahang Kluang, Johor, yang terputus hubungan akibat banjir.

“Kira-kira 2.20 petang, ketika melalui jalan kebun kelapa sawit, pacuan empat roda Toyota Fortuner milik Jakoa telah dihanyutkan arus air banjir yang deras.

“Empat kakitangan Jakoa berjaya menyelamatkan diri, manakala kenderaan jabatan juga berjaya diselamatkan hasil bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan polis pada 2.43 petang,” kata sumber keselamatan, lapor BHM.

Setakat 2 petang 11 Januari, laporan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang sudah berkurangan kepada 8,173 orang daripada 2,269 keluarga di 63 pusat pemindahan sementara (PPS).

Di Johor, jumlah mangsa turut berkurangan kepada 6,978 orang daripada 1,936 keluarga di 46 PPS, berbanding 8,172 mangsa membabitkan 2,244 keluarga di 55 PPS pada 10 Januari.

Jumlah mangsa di Pahang pula tidak banyak berubah dengan terkini 1,195 mangsa daripada 333 keluarga masih berada di 17 PPS.

Sementara itu, banjir di Pekan, Pahang, menyebabkan 21 pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditempatkan di dua sekolah berasrama.

Mereka dibawa keluar dari kawasan kediaman sejak 10 Januari dengan bantuan guru dan kenderaan APM Pekan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pekan.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Encik Mohd Razali Mustafar, berkata pelajar terbabit terdiri daripada mereka yang tinggal di kawasan luar yang kini terputus hubungan akibat banjir, selain ada juga yang rumah mereka ditenggelami banjir gelombang kedua itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg