Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

Persamaan S’pura, Qatar perkukuh hubungan: Presiden Halimah

Kededua negara kecil, namun merupakan
anggota masyarakat antarabangsa yang aktif, bertanggungjawab; katanya sempena lawatan ke Doha
Jun 21, 2023 | 12:00 AM



Meskipun daripada segi saiz, Singapura dan Qatar merupakan negara kecil yang dikelilingi negara jiran yang lebih besar, kedua-dua negara ini terus menjadi anggota masyarakat antarabangsa yang aktif, bertanggungjawab dan konstruktif.

Justeru tidak hairan kedua-dua negara mengongsi pertalian semula jadi antara satu sama lain dan memegang pandangan strategik yang serupa.

Demikian menurut Presiden Halimah Yacob semasa berucap kepada lebih 280 rakyat Singapura dalam satu jamuan makan malam pada Selasa di Hotel Ritz Carlton di Doha, Qatar.

Beliau berada di Qatar selama empat hari sebagai sebahagian daripada lawatan negaranya ke negara Teluk itu atas undangan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Ini juga merupakan lawatan negara terakhir Puan Halimah sebagai Presiden Singapura selepas beliau berhasrat tidak bertanding dalam Pilihan Raya Presiden akan datang.

Dalam ucapan Puan Halimah, beliau merakamkan penghargaan atas undangan Sheikh Tamim.

Puan Halimah juga memuji transformasi yang dilakukan Qatar dan ini dapat dilihat dengan kejayaannya menganjurkan Piala Dunia 2023, sekali gus menunjukkan bagaimana sebuah negara kecil masih mampu bersinar di pentas dunia.

Daripada sudut ekonomi, Puan Halimah berkata Singapura dan Qatar terus menjadi penyokong kuat bagi perdagangan bebas dan sistem perdagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan. 

“Hubungan antara Singapura dan Qatar amat baik. Kami sering mengadakan pertukaran peringkat tinggi. 

“Hubungan ekonomi kita juga telah berkembang dengan mantap selama bertahun,” ujarnya.

Qatar merupakan rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Singapura di Timur Tengah dengan nilai perdagangan dua hala mencecah $8.2 bilion pada 2022.

Syarikat Singapura seperti Rotary Engineering, Certis Cisco, Keppel dan TabiBoba telah mencatatkan prestasi yang baik di Qatar, tambahnya.

Malah, Penguasa Pelaburan Qatar juga telah menubuhkan sebuah pejabat perwakilan di Singapura pada 2021 untuk berkhidmat sebagai hab serantau bagi pelaburan di Asia.

Misalnya Rotary Engineering, yang merupakan sebuah syarikat kejuruteraan prasarana tenaga, perolehan dan pembinaan yang memberi tumpuan terhadap minyak, petrokimia dan terminal penyimpanan dan gas asli cecair (LNG),  telah dianugerahkan kontrak AS$340 juta ($456 juta)  pada 2021 oleh Qatar Energy untuk membina tangki penyimpanan bagi padang petrol dan jet di Bandar Perindustrian Mesaieed Qatar.

Dalam temu bualnya bersama Berita Harian, Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Rotary Engineering, Encik Cedric Lee, berkata walaupun terdapat persaingan hebat antara syarikat antarabangsa mendapatkan projek tertentu di Timur Tengah, jenama Singapura dipandang tinggi oleh syarikat-syarikat di sini.


“Kita perlu harus terus percaya terhadap cadangan nilai unik syarikat Singapura. Tambahan itu dengan jenama unik Singapura yang mampu menawarkan yang terbaik daripada kedua-dua negara timur dan barat di samping menggabungkannya dengan fleksibiliti kita menyesuaikan diri dengan peraturan setempat, secara tidak langsung ia mampu membezakan kita daripada syarikat antarabangsa yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Puan Halimah juga dijadual menyaksikan beberapa penandatanganan Memorandum Persefahaman (MOU) dalam beberapa bidang termasuk tenaga, keselamatan makanan, keselamatan siber serta kerjasama teknikal pada Rabu.

Di samping hubungan ekonomi dan politik, Puan Halimah turut menyentuh tentang bagaimana hubungan Singapura dan Qatar dicorakkan menerusi hubungan antara satu sama lain.

Beliau memuji daya tahan dan usaha rakyat Singapura yang memberanikan diri untuk meneroka rantau yang tidak dikenali ramai Singapura tetapi masih mampu mengibarkan bendera Singapura dengan tinggi dalam bidang masing-masing.

Menurutnya, kebanyakan daripada mereka terlibat dalam kerja-kerja Majlis Perniagaan Singapura di Qatar, yang memudahkan hubungan ekonomi antara Singapura dengan negara Teluk itu.

Ini termasuk juruterbang dan pakar dalam bidang penerbangan, jurutera, jurubank, pakar teknologi maklumat, jagaan kesihatan serta golongan profesional dalam bidang hospitaliti.

Di samping itu, Puan Halimah turut tersentuh dengan daya tahan yang dipaparkan warga Singapura di Doha terutama mereka yang telah kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid-19 dan telah berpindah ke industri baru selain memulakan syarikat sendiri.

“Ini merupakan contoh terbaik yang mencerminkan sikap ‘tidak mudah kalah’ yang dimiliki rakyat Singapura,” ujarnya.

Puan Halimah juga menukil keakraban masyarakat RedDotters yang menyatukan rakyat Singapura di Doha.

“Saya berharap ‘semangat kampung’ ini terus kekal kukuh dan anda terus menyokong satu sama lain dalam masa senang dan sukar,” katanya lagi.

Selain itu, Presiden Halimah turut menggesa masyarakat Singapura di Qatar agar terus berhubung dengan Singapura selain mengambil bahagian dalam perbincangan berterusan mengenai masa depan Singapura sedang negara memperbaharui dan memberikan kesegaran mengenai kompak sosial Singapura dan sekitaran geopolitik yang kian mencabar.

Beliau memberi contoh bagaimana inisiatif seperti ‘Melakar Hala Tuju Singapura’ yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, tahun lalu merupakan platform yang boleh dimanfaatkan masyarakat Singapura di Qatar untuk mengongsi pandangan mereka.

“Meskipun anda jauh secara fizikal, perspektif unik anda mengenai dunia dan kedudukan Singapura di dalamnya boleh menjadi input yang tidak ternilai bagi kepimpinan Singapura sedang kita mencorak perjalanan masa depan negara,” katanya.

Awal sebelum itu, Puan Halimah juga telah mengunjungi Muzium Negara Qatar yang dihoskan Pengerusi Muzium Qatar, Cik Sheikha Mayassa Al-Thani; Stadium Lusail yang menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia antara Argentina dengan Perancis; serta Ladang Baladna yang merupakan pengeluar tenusu selain antara ladang lembu terbesar di rantau itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >