PM Lee: Dakwaan adik-beradik kebanyakannya tidak tepat

PERDANA Menteri Lee Hsien Loong berkata dakwaan yang terus dibuat adik beradiknya "kebanyakannya adalah tidak tepat".

Menjawab pertanyaan media mengenai kiriman Facebook yang dibuat adik beradiknya, Encik Lee tadi berkata:

"Adik beradik saya terus membuat dakwaan mengenai apa yang mereka katakan saya telah lakukan atau tidak lakukan. Ia kebanyakkannya tidak tepat. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya akan membuat kenyataan di Parlimen pada 3 Julai, 2017. Pada masa itu saya akan menangani dakwaan yang perlu ditangani.

Encik Lee dan adik beradiknya Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee Wei Ling sedang mempertikaikan rumah mendiang bapa mereka Encik Lee Kuan Yew di 38 Oxley Road.

Sepanjang hujung minggu  lalu, Encik Lee Hsien Yang mendakwa Perdana Menteri Lee sedang menyuruh beberapa menteri mengulangi saranan bahawa Lee Kuan Yew tidak memahami wasiatnya sendiri.

Dr Lee pula menuduh Perdana Menteri Lee cuba "mengubah sejarah"  setelah mengakui selama beberapa tahun bahawa keinginan Encik Lee Kuan Yew merobohkan rumahnya "tidak berubah" kata Dr Lee.

Perdana Menteri minggu lalu memohon maaf kepada rakyat Singapura sambil berkata beliau kecewa pertikaian itu telah menjejas reputasi negara dan keyakinan rakyat Singapura kepada pemerintah. Beliau juga menyatakan beliau telah mengundurkan dirinya daripada sebarang keputusan pemerintah berhubung rumah itu dan secara peribadi berkata beliau mahu melihat keinginan bapanya dipatuhi.