Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

Rampas Terengganu? Sukar bagi PH-BN, tapi apa jua boleh berlaku

Jul 30, 2023 | 05:10 PM



Merampas semula Terengganu? Mungkin ini satu misi yang sukar bagi Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) bulan depan.

Tetapi demikian keyakinan pemimpin-pemimpin PH-BN, termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Anwar, yang juga Pengerusi PH dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), melahirkan keyakinan itu kepada Berita Harian (BH) sewaktu ditemui pada 28 Julai sambil berkata Kerajaan Perpaduan pimpinannya sedang berusaha keras untuk merampas dua negeri di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN15 pada 12 Ogos ini.


Keyakinan yang sama diluahkan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,  yang meramalkan Terengganu dan Kedah akan balik semula kepada PH-BN. 

Itu harapan mereka.

APA YANG DIDENGAR

Berdasarkan temu ramah dan perbualan wartawan BH ini dengan penduduk setempat sepanjang enam hari berada di bumi Terengganu, keyakinan mereka nampak berasas.


Golongan muda, terutamanya, berkata mereka lebih suka melihat perubahan kerajaan negeri daripada gabungan Parti Islam SeMalaysia (PAS)-PN kepada PH-BN.

Orang muda seperti Encik Kamarul Hakimi Abdullah, 26 tahun, jurujual kanan di gedung beli-belah Kuala Terengganu City Centre (KTCC), dan Cik Syasha Maisarah Juzaili, 21 tahun, yang mengendalikan sebuah gerai wangi-wangian di ibu negeri Terengganu ini, berkata mereka “lebih minat kepada BN” kerana “mahu melihat lebih banyak kemajuan di Terengganu” dan  “nikmati lebih banyak bantuan” bagi penduduk di negeri ini.

Ini berdasarkan apa yang wartawan dengar.

APA YANG DILIHAT

Ironinya, apa yang wartawan lihat pula mencerminkan senario yang sangat berbeza.

Bayangkan ‘lautan manusia’ yang saya rasa hampir mencecah puluhan ribu penyokong yang membanjiri Dewan Tok Guru di Rusila, bersebelahan kubu kuat PAS di Masjid Rusila, di sini semasa majlis Pengisytiharan Calon PN/PAS PRN15 Terengganu pada 27 Julai.

Pada Sabtu, wartawan sekali lagi melihat ribuan penyokong PN-PAS meraikan Menteri Besar sementara Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, semasa menyerahkan borang penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang yang ditandinginya di Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah dan Tanah Marang.

Dalam kededua acara, mereka – baik warga tua, muda, belia dan kanak-kanak yang datang bersama ibu bapa mereka – menunjukkan kehadiran dan sokongan dengan memberi reaksi spontan apabila diminta menyanyikan lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, dan lagu tema PN-PAS, Teguh Pertahan, bagi menghadapi PRN15, dan mengibarkan bendera parti seraya melaungkan takbir.


Gamat dan sangat padu sokongannya.

PERBEZAAN STRATEGI

Memang sudah dijangka pemerhati bahawa golongan muda bakal merubah landskap politik di Terengganu, lebih-lebih lagi pola pilihan pengundi dijangka lebih dinamik yang boleh menyaksikan undi beralih kepada PH-BN atau kekal bersama PN-PAS.

Dalam soal strategi ini, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr A Aziz Azizam, memberi peringatan:

“Sejak tahun 1990-an hingga 2000, walaupun isu yang dimainkan pergi balik isunya Melayu/Islam sahaja, bila dilihat pada data, PRN kali ini berbeza daripada PRN lain kerana adanya kuasa pada pengundi muda.


“Ia boleh jadi faktor penentu yang baru dalam politik di Terengganu,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, data dalam PRN14 pada 2018 tidak boleh memberi sebarang gambaran kerana tidak ada pengundi muda. Pengundi muda ini sebilangan besarnya penyokong PH, manakala ibu bapa mereka pengundi tegar PAS.


Nampaknya ini juga strategi yang dimainkan PH-BN, yang amat berharap pengundi muda dapat membantu mengembalikan undi kepadanya.

Ini jelas berbeza dengan strategi PN-PAS yang menumpukan perhatian kepada semua segmen pengundi tidak kira yang tua atau golongan muda.

Datuk Dr Ahmad Samsuri, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu dan Naib Presiden PAS, menegaskan bahawa PN tidak memberi tumpuan kepada segmen tertentu untuk menarik sokongan, sebaliknya menyasarkan semua pengundi tanpa mengira latar belakang mereka.

Menyifatkan semua pengundi, tanpa mengira umur dan latar belakang, penting bagi PN, beliau menambah:

 “Kami melihat semua segmen, dan bagi PN dan PAS, tiada segmen tertentu yang lebih penting daripada yang lain.

“Fokus kami merangkumi semua, daripada pengundi muda hingga pertengahan umur dan warga emas, termasuk pelbagai masyarakat dan latar belakang,” katanya kepada pemberita.

ISU

Dalam keghairahan berkempen dan menarik undi, parti-parti dan calon yang bertanding lumrah amat berhati-hati tetapi langkah Datuk Ahmad Zahid mengumumkan bantuan kepada pengundi muda baru-baru ini mengundang kritikan.

PAS dan beberapa parti lain ada menzahirkan rasa kecewa terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang belum memberi sebarang reaksi terhadap pengumuman pemberian bantuan kepada pengundi muda Terengganu itu, yang didakwa satu bentuk cubaan merasuah.

Dalam lawatannya ke negeri ini pada 28 Julai, Datuk Ahmad Zahid mengumumkan pemberian geran RM100,000 ($29,228) kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), RM250,000 untuk Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 lagi bagi persatuan permotoran di negeri terbabit.

Akhbar Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan bahawa Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, telah mendesak SPRM menyiasat perkara itu.


“Ramai menanti apakah tindakan SPRM terhadap ucapan Ahmad Zahid di Terengganu yang jelas memberi sogokan dan bercanggah dengan undang-undang negara.


“Tindakan memberi pelbagai geran dan sumbangan kewangan dengan syarat mengundi Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) jelas satu rasuah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya dalam laporan itu.


JADI SIAPA AKAN MENANG?

Inilah drama yang belum berakhir. Tetapi politik Malaysia begitu menarik dan berwarna-warni sehingga saya pun mula tenggelam di dalamnya. Apa juga boleh berlaku.

Sebenarnya saya pun tidak tahu dan belum tahu siapa akan menang. Tetapi saya, mungkin juga anda, mahu tahu penghabisan ceritanya. Rasanya sepinggan nasi dagang, sepiring keropok lekor dan secawan kopi tidak cukup, kot.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >